Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
T'ganu bakal laksana sistem bil sepadu air, pembentungan

Terengganu menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang akan melaksanakan sistem pengebilan bersepadu bersama Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bermula Januari tahun hadapan.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berkata pengebilan bersepadu itu akan bermula pada 1 Jan dengan bil bersepadu pertama akan dikeluarkan pada Mac, melibatkan 20,661 akaun pelanggan bagi premis yang menggunakan perkhidmatan pembentungan jenis bersambung.

"Pelaksanaannya akan dapat meningkatkan pengurusan dan kecekapan industri air dan pembentungan, di samping menyokong hasrat kerajaan ke arah integrasi perkhidmatan air dan pembentungan pada masa akan datang.

Ia memudahkan pengguna membuat pembayaran melalui satu bil sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama Sistem Pengebilan Bersepadu Perkhidmatan Air dan Pembentungan Negeri Terengganu antara IWK dengan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), di Kuala Lumpur.

Pada majlis yang disaksikan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, IWK diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya M Narendran, manakala Satu diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Atemin Sulong.

Pada masa yang sama kementerian itu turut berharap berharap agar operator air di negeri-negeri lain dapat sama menjayakan pelaksanaan pengebilan bersepadu itu selepas Terengganu.

Setakat ini IWK telah bekerjasama dengan Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) dan sehingga September tahun ini kadar kutipan caj pembentungan bagi bil IWK bersama JBAL telah mencapai sehingga 91.6 peratus.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS