Seramai 13 gabungan NGO hari ini menyerahkan laporan berkenaan hak asasi kanak-kanak kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh.
Ketua Gabungan Hak Asasi Kanak-Kanak Malaysia (CRCM) Melisa Mohd Akhir, menjelaskan bahawa laporan itu dibuat susulan bagi membantu kementerian untuk menangani masalah yang dialami anak kecil itu.
“Laporan ini ada menerangkan beberapa isu berkenaan masalah yang dihadapi kanak-kanak. Jadi dengan laporan ini, kementerian akan dapat meneliti bagi menangani isu tersebut.
“NGO diagihkan ikut beberapa aspek isu hak asasi kanak-kanak dan kita jalankan laporan itu bersama,” katanya ketika berucap pada program pemberian laporan itu di Kuala Lumpur hari ini.
Antara 13 NGO yang turut serta dalam persiapan laporan tersebut adalah Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA), MalaysianCare dan Childline.
Antara intipati laporan tersebut adalah isu berkenaan pelarian kanak-kanak, pemerdagangan, kebebasan bersuara dan beragama dan perkahwinan bawah umur.
Sementara itu, Hannah juga menjelaskan bahawa laporan yang diterima dari NGO berkenaan akan dilihat dan juga diperincikan lagi setiap aspek oleh pihak kementeriannya bagi menangani isu tersebut.
"Kami ada terima laporan itu, dan laporan itu akan kami tambah bersama data-data dari kajian kami menerusi hak asasi kanak-kanak untuk dibentangkan tahun hadapan.
"Kami juga berharap akan dapat mengatasi masalah itu secepatnya," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas majlis tersebut.
Majlis pemberian laporan tersebut juga diserikan dengan beberapa kanak-kanak yang meluahkan perasaan dan pendapat berkenaan hak asasi mereka.
Antara yang menarik adalah ucapan yang diberikan seorang pelarian Afganistan, Mohsen Ghorbani memberitahu berkenaan sekatan pendidikan yang terpaksa dihadapi oleh komunitinya.
“Sekolah pelarian tidak banyak pelajaran yang boleh belajar, hanya ada ilmu asas sahaja.
“Saya suka bermain bola dan ilmu sukan namun di sekolah saya tidak diajar. Agak sukar saya ingin mencari ilmu bagi minat saya,” katanya yang baru berumur 13 tahun.
Ramai hadirin dilihat menunjukkan rasa simpati terhadap nasib yang dialami Mohsen dan Hannah sendiri juga mengakui terkilan akan perkara berkenaan dan berharap isu itu dapat diselesaikan oleh kerajaan segera.