Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM gesa kadar gaji minimum diperkenal seluruh negara
Diterbitkan:  Dec 20, 2019 10:19 AM
Dikemaskini: 2:20 AM

Kerajaan perlu memperkenalkan kadar gaji minimum RM1,200 seluruh negara dan bukan dihadkan kepada 57 bandar utama sahaja, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang turut menyifatkan kadar tersebut masih rendah.

Dalam kenyataan semalam, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata tindakan kerajaan hanya akan mewujudkan perbezaan pendapatan yang lebih besar, bukannya merapatkan jurang.

"Meningkatkan gaji minimum kepada RM1,200 sendiri masih rendah, tetapi mengehadkan kepada 57 bandar sahaja tidak akan membantu keadaan.

"Laporan khas oleh wakil PBB, Philip Alston tentang Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, mengenai kadar kemiskinan Malaysia tidak boleh dinafikan," katanya.

Pada Rabu lalu, kerajaan mengumumkan bahawa akan menaikkan gaji minimum kepada RM1,200 di 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran dan RM1,100 di kawasan lain seluruh negara.

Kementerian Sumber Manusia berkata, kenaikan gaji minimum akan membantu pekerja mengatasi kos sara hidup di bandar.

Polisi baru itu akan dikuat kuasa mulai 1 Januari 2020. Ia meliputi semua sektor swasta kecuali yang bekerja di perkhidmatan domestik.

Arutchelvan berkata bahawa lebih masuk akal agar menetapkan kadar RM1,200 di seluruh negara.

"Ia akan membuat keadaannya kurang rumit dan akan mengurangkan ketegangan dalam pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang baru ini.

"Pada ketika pihak berkuasa dan majikan terbiasa dengan dasar ini, kajian baru akan muncul," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa PSM dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa agar gaji minimum ditetapkan sebanyak RM1,800, manakala Bank Negara meminta angka yang lebih tinggi.

Untuk rekod, laporan Bank Negara yang diterbitkan pada Mac tahun lalu menganggarkan gaji hidup di Kuala Lumpur adalah RM2,700 untuk seorang dewasa tunggal, RM4,500 untuk pasangan tanpa anak dan RM6,500 untuk pasangan dengan dua orang anak.

Bagaimanapun, laporan bank pusat itu menumpukan pada kos taraf hidup minimum yang boleh diterima secara sosial, dan bukan konsep gaji minimum.

"Walaupun penentuan gaji hidup didasarkan pada kos sara hidup, upah minimum boleh mempertimbangkan faktor tambahan, memandangkan ia adalah keperluan undang-undang, seperti kesannya terhadap pekerjaan dan penciptaan peluang kerja," kata laporan itu.

Arutchelvan berkata PSM tidak begitu yakin kerajaan Pakatan Harapan akan dapat menunaikan janji untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan sebelum berakhir mandat lima tahun.

Untuk menunaikan janji itu, katanya, PH perlu menaikkan gaji minimum sebanyak RM150 dalam setiap dua kajian mengenai gaji minimum yang perlu dibayar sebelum mandat PH tamat.

"Sejak berkuasa, PH pada mulanya hanya meningkatkan gaji minimum sebanyak RM50 dan bersetuju untuk meningkatkannya dengan tambahan RM50, menjadikannya RM1,100 hanya selepas mendapat bantahan.

"Oleh itu, adalah logik untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,200 sekarang," tambah Arutchelvan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS