Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JPM: Laporan perbelanjaan pembangunan tak beri gambaran sebenar

Nota pengarang: Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Malaysiakini artikel mengenai perbelanjaan pembangunan bertajuk “Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Catat Baki Peruntukan Pembangunan Terbanyak” mengandungi maklumat sulit dan meminta portal berita ini menggugurkan laporan tersebut. Selepas mempertimbangkan permintaan berkenaan dan mendapat penjelasan, Malaysiakini membuang artikel itu. Ini amat dikesali.


Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata laporan Malaysiakini mengenai perbelanjaan pembangunan "tidak tepat dan tidak memberi gambaran sebenar."

"Sebagaimana yang dilaporkan oleh pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), prestasi perbelanjaan sebenar telah jauh meningkat setelah proses pembayaran dapat diselesaikan, sehingga tarikh siaran ini.

"Ingin ditegaskan juga bahawa laporan ini adalah dokumen rasmi kerajaan yang tidak boleh diedar atau dilaporkan kepada mana-mana pihak lain sama ada individu atau organisasi tanpa kebenaran," kata JPM dalam suatu kenyataan petang tadi.

Sebelum ini, Malaysiakini memetik data Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dari awal November mengenai perbelanjaan pembangunan oleh pelbagai kementerian.

Sebelum menerbitkan artikel itu, Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Belia dan Sukan dan lain-lain untuk mendapatkan penjelasan.

Bagaimanapun, selepas artikel itu diterbitkan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataannya berkata, sehingga ke hari ini, ia telah membelanjakan 99.6 peratus daripada perbelanjaan pembangunannya.

Azmin ketika ditemui di Kuala Lumpur kemudian menjelaskan bahawa perbelanjaan itu dibelanjakan berdasarkan perkembangan kerja.

"Biasanya, kami membuat pembayaran berdasarkan kemajuan kerja yang tertentu, sekarang kami sudah membelanjakan lebih daripada 99.6 peratus menjelang akhir tahun, jadi mereka sudah menjelaskan perkara itu," katanya.

Beliau berkata perbezaannya adalah kerana bayaran akan dibuat menjelang akhir tahun selepas beberapa peringkat tertentu projek disiapkan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam ciapannya di Twitter berkata kementeriannya juga telah menghabiskan 99.4 peratus perbelanjaan pembangunan menjelang 14 Disember.

Berikut kenyataan penuh Jabatan Perdana Menteri:

Maklumat Laporan Prestasi Projek Pembangunan Tahun 2019

Merujuk kepada berita yang dikeluarkan oleh Malaysiakini pada 19 Disember 2019 bertajuk “Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Catat Baki Peruntukan Pembangunan Terbanyak”, ingin ditegaskan laporan tersebut tidak tepat dan tidak memberi gambaran sebenar.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), prestasi perbelanjaan sebenar telah jauh meningkat setelah proses pembayaran dapat diselesaikan, sehingga tarikh siaran ini.

Ingin ditegaskan juga bahawa laporan ini adalah dokumen rasmi kerajaan yang tidak boleh diedar atau dilaporkan kepada mana-mana pihak lain sama ada individu atau organisasi tanpa kebenaran.

Sekiranya pihak media yang bertanggungjawab memerlukan maklumat bolehlah berhubung secara rasmi kepada:

Urusetia

Laporan Prestasi

Unit Penyelarasan Pelaksanaan

Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM)

Sektor Pemantauan dan Penilaian Pembangunan

Aras 3, Blok Timur

Bangunan Perdana Putra

62502 Putrajaya

(u.p.: Datuk Dr. Shahrazat Binti Haji Ahmad

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pemantauan dan Penilaian

Pembangunan, ICU JPM)

No. Telefon Pejabat: 03-8872 3904

Emel: [email protected]

Jabatan Perdana Menteri Putrajaya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS