Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ada tak kena dengan projek asrama pekerja - Penduduk Batu Maung

Sekumpulan penduduk membantah pembinaan blok ketiga bangunan asrama pekerja di kawasan perindustrian Batu Maung di bahagian selatan Pulau Pinang.

Diluluskan pada April 2016, projek itu dilaporkan melibatkan asrama untuk 8,568 pekerja asing, yang akan dibawa untuk bekerja dengan pengangkutan 108 buah bas pada dua syif setiap hari.

Ia akan mengambil masa selama tiga setengah jam untuk kesesakan lalu lintas reda, kata kumpulan itu menjelaskan jalan sedia ada di kawasan itu terlalu kecil untuk menampung kesemua bas pada masa yang sama.

Penduduk membawa sepanduk berhimpun di hadapan tapak projek hari ini, menuntut kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyelesaikan masalah yang akan timbul akibar pembinaan dua blok asrama tersebut.

Aktivis Ravinder Singh memimpin bantahan hari ini membangkitkan beberapa hal yang tidak kena dengan projek itu dan kesannya terhadap kehidupan penduduk.

Ravinder, yang juga penduduk di kawasan itu, menjelaskan kumpulan berkenaan tidak menentang projek tersebut, kerajaan negeri mahu pun pemaju.

"Kami cuma mahu memastikan semua yang tidak kena berkaitan dengan asrama itu dan kesannya kepada kejiranan dapat ditangani," kata Ravinder kepada wartawan hari ini.

"Kami telah membangkitkan isu ini kepada ahli exco Pulau Pinang dan Adun Batu Maung, Abdul Halim Hussein dan dia bersama kami sekarang," kata Ravinder.

"Bagaimanapun, semua e-mel kami kepada pemimpin kerajaan negeri lain, termasuk Ketua Menteri Chow Kon Yeow, exco perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo, dan Datuk Bandar MBPP Yew Tung Seang, telah diabaikan," kata Ravinder.

Halim bekata akan membangkitkan kebimbangan kumpulan itu kepada kerajaan negeri dan MBPP.

Dia juga tidak bersetuju dengan pembinaan blok ketiga di kawasan itu yang akan menjadikan tempat itu terlalu padat dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Bangunan sekarang sudah meliputi kawasan seluas empat padang bola sepak. Ia akan jadi terlalu sesak untuk menambah blok lain," kata Halim.

"Bayangkan diri kamu dalam keadaan ini, dalam kesesakan sedemikian, bagaimana?

"Pada 22 Nov 2018, pemaju meminta untuk membina blok ketiga, yang saya tidak bersetuju. Kami berharap MBPP akan mengkaji semula permintaan ini.

"Keputusan kini di tangan pihak majlis tempatan," kata Halim.

Aktivis Zikrullah Ismail juga menyoal jika penilaian impak sosial telah dijalankan untuk projek itu, berkata pembinaan besar tersebut pasti akan memberikan kesan negatif terhadap penduduk di kawasan berkenaan.

Penduduk CM Tan pula mendesak pihak berkuasa untuk mempertimbangkan langkah-langkah keselamatan projek itu, mendakwa bas membawa pekerja ke kilang masing-masing akan ditempatkan di laluan yang dikhaskan untuk bomba.

"Lorong bomba akan digunakan untuk meletak bas. Bukan kah ini pelanggaran peraturan majlis?" Tanya Tan.

Pihak yang membantah projek ini termasuklah kawasan perumahan Southbay, AIMS Motion Technology Sdn Bhd, Penduduk Desa Batu Maung, Hot Temp (M) Sdn Bhd, Penduduk Sunway Mutiara, TBS Precision Engineering Sdn Bhd, Penduduk Prestige V, Sin Yen Technologies Sdn Bhd, Penduduk Sunway Tunas Jaya, Syspex Industries Sdn Bhd, Penduduk Desa Jelita, Massive Success (OEM) Sdn Bhd, Penduduk Sunway Cassia, Pre-Tech Solutions Sdn Bhd, SK Permatang Damar Laut, Brisdac Technology Sdn Bhd, SK Batu Maung dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS