Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teo: Sekolah Wawasan tak hakis identiti sekolah vernakular
Diterbitkan:  Dec 19, 2019 3:56 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mempertahankan Sekolah Wawasan, iaitu konsep persekolahan yang menempatkan sekolah vernakular bersama sekolah kebangsaan biasa lain di dalam satu kompleks yang sama.

Teo memberitahu Dewan Negara pada Isnin lalu bahawa beberapa isu timbul apabila Sekolah Wawasan dilaksanakan, termasuk kebimbangan kemungkinan sekolah vernakular Cina atau India kehilangan "identiti" dan fungsi lembaga pengarah sekolah akan dihapuskan.

"Perkara-perkara ini tidak berlaku pada hari ini, SJKC dan SJKT di Sekolah Wawasan yang sedia ada masih mengekalkan identiti mereka sendiri, dan kerajaan Pakatan Harapan tidak mempunyai rancangan untuk menghapuskan fungsi lembaga sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2020 di Dewan Negara.

Bagaimanapun, kata Teo, tidak ada rancangan untuk membina yang Sekolah Wawasan yang baru ketika ini.

Di Sekolah Wawasan, murid sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular berkongsi kemudahan seperti kantin atau padang, tetapi pengajaran dan pentadbiran sekolah tetap berasingan.

Tujuannya adalah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar.

Bagaimanapun, satu kajian mendapati kesannya mungkin terhad kerana kebanyakan pelajar hanya berinteraksi dengan kaum mereka sendiri walaupun berkongsi kompleks sekolah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kerajaan komited untuk membangunkan semua sekolah, supaya semangat multikulturalisme dan perpaduan dapat dicapai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS