Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Media digesa tonjol isu, cabaran dihadapi OKU

Media perlu menonjolkan isu dan cabaran dihadapi golongan orang kurang upaya (OKU) dalam laporan berita selain memberi fokus kepada aspek kebajikan golongan itu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Beliau berkata, pendedahan mengenai isu dan cabaran yang dihadapi OKU membolehkan laporan yang ditulis mempunyai perspektif yang memberi manfaat kepada golongan tersebut.

"Oleh itu pemahaman mengenai cabaran golongan OKU adalah penting dalam kalangan pengamal media kerana media membentuk pendapat awam mengenai sesuatu isu," katanya kepada pemberita selepas berucap pada program latihan Disability Equality Training Bersama Media di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Putrajaya, hari ini.

Yeoh yang menyambut baik latihan sehari anjuran Persatuan OKU Sentral dan KKMM itu berharap latihan yang melibatkan media rasmi hari ini diperluaskan kepada pengamal media alternatif termasuk penulis blog.

“Ini bertujuan memastikan semua pihak boleh memainkan peranan membantu memberikan kesedaran mengenai isu OKU kepada orang awam,” katanya.

Seramai 130 peserta terdiri daripada petugas media rasmi dan wakil daripada kementerian mengikuti latihan hari ini yang membincangkan isu semasa dihadapi OKU termasuk pemandu teksi yang enggan membawa mereka dan peranan media dalam mewujudkan masyarakat inklusif.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Persatuan OKU Sentral Ras Adiba Radzi dalam kenyataan yang diedarkan pada program itu berkata, kebanyakan rakyat Malaysia yang kurang peka dengan keperluan golongan OKU telah menyalahgunakan fasiliti yang dikhususkan untuk OKU.

"Tandas, tempat letak kereta, tempat duduk khusus untuk OKU dalam pengangkutan awam dan banyak lagi telah disalahgunakan setiap hari. Pendekatan lebih berhemah perlu dilaksanakan menerusi pendidikan dan mewujudkan kesedaran. Kami perlukan lebih pendedahan dan akses kepada massa. Industri media mempunyai peranan penting dalam menonjolkan perkara ini," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS