Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hadi puji Malaysia anjur Sidang Kemuncak KL 2019
Diterbitkan:  Dec 19, 2019 2:57 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah atas kejayaan negara dalam penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang disifatkannya sebagai permulaan memperkasakan kerjasama di kalangan negara Islam.

Sambil memuji kejayaan Malaysia yang berjaya mengumpul wakil negara Islam dari seluruh dunia, beliau berkata, penganjuran itu satu langkah proaktif dan sebagai pemangkin bagi menangani banyak masalah membelenggu umat Islam.

“Usaha membawa persidangan Islam ke Asia Tenggara, jauh dari tempat yang banyak masalah adalah satu langkah baik kerana rantau ini lebih aman dan tenang berbanding Asia Barat.

“Saya ucapkan tahniah, ini sesuatu yang membanggakan,” katanya ketika ditemui wartawan selepas perasmian Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Menurut Abdul Hadi, kehadiran pemimpin besar dari Turki, Qatar, Iran dan Uzbekistan yang mewakili Asia Tengah sudah cukup sebagai bukti serta permulaan kerjasama memajukan negara dan umat Islam serta mencari jalan menyelesaikan masalah yang membelenggu ummah.

Katanya, beliau juga tertarik dengan kandungan agenda persidangan yang tidak hanya terhad kepada isu politik, tetapi turut mencangkupi isu lain.

“Kerjasama bagi menyediakan penyelesaian masalah pada peringkat awal.

“Bukan sahaja isu politik yang banyak diperkatakan termasuklah isu kerjasama membangun sains teknologi, kerjasama ekonomi,” katanya.

Menurut pemimpin PAS itu, beliau dan partinya, menyokong inisiatif penganjuran persidangan itu, malah turut mempromosikannya di luar negara melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kehadiran saya ini juga atas jemputan Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) sendiri. Beliau yang juga pengerusi persidangan ini menjemput saya secara peribadi,” katanya.

Persidangan bertema ‘Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara’ sehingga Sabtu ini, mengumpulkan 450 pemimpin negara Islam dan tokoh-tokoh agama, cendekiawan, pemikir serta bijak pandai dari 56 negara untuk berbicara serta bertukar pandangan mengenai isu berkaitan dunia Islam.

Antara yang hadir, termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS