Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dong Jiao Zong gesa pertubuhan Cina daftar kehadiran himpunan bantah Jawi
Diterbitkan:  Dec 19, 2019 10:34 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

Kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong menggesa pertubuhan Cina yang lain mendaftar bagi menunjukkan minat mereka menghadiri perhimpunan yang bakal diadakan bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Dong Jiao Zong menyorot kekangan masa sebelum perhimpunan berlangsung di Kolej New Era di Kajang pada 28 Disember ini.

"Kongres Organisasi Cina adalah gabungan kekuatan untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah.

“Ia juga adalah gesaan kepada kerajaan untuk mendengar suara rakyat dan membatalkan pengenalan pelajaran Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk sekolah jenis kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan dalam bahasa Mandarin yang dikeluarkan semalam.

Pertubuhan yang berminat boleh mendaftar melalui laman web Dong Zong atau hubungi Dong Zong menerusi telefon atau e-mel.

“Ini adalah untuk menunjukkan keazaman masyarakat Cina mengenai perkara itu dan menunjukkan kekuatan, suara dan harapan masyarakat untuk menarik perhatian kerajaan dan menyelesaikan masalah itu.

“Pada masa sama, kongres itu akan menjemput perwakilan bagi kumpulan pendidikan India. Ini bagi memastikan kongres berjalan dengan lancar, tiada plakad, sepanduk atau bahan propaganda dibenarkan," kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Dong Jiao Zong mengkritik garis panduan yang diberikan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan pengenalan pelajaran Jawi.

Dalam garis panduan tersebut, salah satu arahannya adalah agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menghantar kaji selidik kepada ibu bapa bagi memutuskan sama ada boleh memperkenalkan atau tidak sukatan pelajaran tersebut di sekolah.

Jika sekurang-kurangnya majoriti ibu bapa bersetuju, maka sukatan pelajaran - yang terdiri daripada tiga halaman - dalam buku teks darjah empat itu akan diperkenalkan.

Dong Jiao Zong secara kolektif merujuk kepada Persatuan Guru Sekolah Cina (Jiao Zong) dan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong).

Dalam mesyuarat bersama dua pertubuhan pada 12 Disember lalu, kumpulan pendidikan Cina memperkenalkan pendirian mereka, iaitu tidak menerima, tidak bersetuju dan tidak akan melaksanakan panduan perlaksanaan pengenalan tulisan Jawi.

Ia juga menggesa lembaga sekolah, PIBG dan unit Dong Zong peringkat negeri untuk mengembalikan garis panduan tersebut kepada kementerian pendidikan sebagai tanda protes, selain menghadiri kongres dan mengadakan kempen petisyen.

Persekutuan Persatuan Cina (Hua Zong) juga berkata akan menghadiri kongres itu.

Untuk rekod, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching telah menafikan bahawa garis panduan kementerian berkenaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia itu akan mengenepikan kuasa pihak lembaga dalam membuat keputusan ke atas sekolah mereka sendiri.

Jelasnya, kementerian kini hanya mengutamakan pandangan ibu-bapa murid.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS