Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khaled bidas MB Johor rancang ke luar negara ketika banjir belum pulih
Diterbitkan:  Dec 18, 2019 12:13 PM
Dikemaskini: Dec 19, 2019 4:12 AM

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin mengkritik Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal yang merancang membuat lawatan ke luar negara ketika beberapa kawasan di negeri selatan tanah air itu dilanda banjir.

Khaled yang merupakan bekas menteri besar Johor berkata, pihak kerajaan negeri dan pemimpin tempatan sangat diperlukan untuk turun padang dan membantu sedaya yang mungkin.

"Mereka mesti terus memantau dan memastikan yang segala aspek keselamatan dan misi bantuan berjalan lancar. Bukan sekadar melepas tangan kepada kakitangan kerajaan negeri atau para sukarelawan.

"Atau sekadar mengadakan satu lawatan ke pusat pemindahan.

"Malangnya, ketika keadaan di Johor belum reda dan pulih, Menteri Besar Johor Dr Shahruddin Jamal memilih untuk mengadakan lawatan ke luar negara di Mesir," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu dikongsi di Facebook dan disertakan poster lawatan delegasi negeri Johor ke Mesir yang akan diadakan pada hari ini pada pukul 6 petang hingga 20 Disember.

Bagaimanapun, semakan laman Facebook Sahruddin memaparkan beberapa hantaran mengenai situasi terkini bencana banjir di Johor.

Laporan Star Online juga melaporkan Sahruddin hari ini membuat tinjauan udara di kawasan terjejas.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak menteri besar Johor dan sedang menunggu reaksi berhubung kenyataan Khalid.

Semalam dilaporkan jumlah mangsa banjir berkurangan di Johor, kepada 5,651 orang daripada 1,563 keluarga setakat 4.30 petang semalam berbanding 7,944 orang daripada 2,170 keluarga yang direkodkan pada 12 tengah hari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS