Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO: K'jaan perlu bertanggungjawab pada RM2.5b dikutip dari pekerja asing

Menjelang tarikh akhir program pengampunan pendatang tanpa izin Back For Good pada 31 Disember ini, Tenaganita hari ini berkata kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap kutipan daripada pekerja asing tanpa dokumen melalui program pengambilan semula kerja sebelumnya, yang dianggarkan RM2.5 bilion.

Pengarah Tenaganita Joseph Paul Maliamauv berkata, secara keseluruhan kira-kira 700,000 pendatang asing tanpa dokumen yang membayar purata RM5,000 kepada tiga syarikat yang dilantik kerajaan untuk melaksanakan program pengambilan semula kerja dari 2016 hingga 2018.

Bagaimanapun, katanya, kirang 200,000 yang menerima permit kerja mereka dan angka RM2.5 bilion mewakili kutipan daripada kira-kira 500,000 lagi yang tidak mendapat permit walaupun telah membuat bayaran yang diperlukan.

"Kerajaan tentunya akan kata kami lantik beberapa agen...tetapi mereka adalah agen yang dilantik kerajaan.

"Mereka kutip duit dari pihak kerajaan. Jadi anda (kerajaan) tak ada alasan. Ia tanggungjawab kerajaan," katanya.

"Orang sudah bayar duit tetapi mereka tak dapat permit kerja," katanya ketika sidang media di pejabat Tenaganita di Petaling Jaya, sempena sambutan Hari Migran Antarabangsa.

Joseph berkata, ramai yang gagal mendapat permit kerja kekal di negara ini sebagai pendatang asing tanpa dokumen dan sering menjadi mangsa eksploitasi.

"Mereka ditangkap, ditahan, diletakkan dalam 'lubang neraka' yang dipanggil sebagai kem tahanan.

"Mereka kemudian disenarai hitam dan dihantar pulang. Apa jadi dengan wang yang mereka bayar?"

Katanya lagi, kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap wang tersebut, kerana terus melaksanakan kutipan melalui kompaun RM700 terhadap semua pendatang asing tanpa dokumen yang berdaftar dengan program pengampunan Back For Good.

"Jadi bila bercakap tentang Back For Good, ia bukanlah sentiasa bagus," katanya lagi.

Pada 14 Disember lalu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata setakat ini sejumlah 138,901 pendatang asing tanpa dokumen kembali ke negara asal secara sukarela melalui program itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS