Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MEF gesa pengecualian cukai untuk elak buang pekerja di industri lain juga

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berharap cadangan pengecualian cukai bagi mengelakkan syarikat mengambil langkah pemberhentian pekerja tidak terhad kepada industri media sahaja.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata syarikat pada satu sisi menanggung kos yang tinggi apabila melaksanakan langkah pemberhentian pekerja.

“Langkah pemberhentian itu sesuatu yang agak mahal dilaksanakan kerana kita terpaksa melepaskan pekerja yang kita telah latih.

“Apabila keadaan ekonomi yang diharapkan akan pulih semula, jika kita ingin kembali menambah pekerja (selepas mengurangkannya), kita terpaksa mengambil yang baru dan latih mereka lagi. Ini sudah tentu akan melibatkan kos yang tinggi.

“Kenapa tidak kita ada insentif sedemikian untuk mengelakkan pemberhentian? Apabila ekonomi telah pulih kita dapat sepenuhnya memenuhi kehendak pasaran (tanpa perlu mengambil pekerja baru),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam bahawa kerajaan bersedia untuk memberi pengecualian cukai kepada syarikat media dengan syarat mereka mengambil setiap langkah yang mungkin untuk mengelakkan daripada memberhentikan pekerja mereka.

Ia susulan pelaksanaan pemberhentian secara berterusan oleh konglomerat media Media Prima Bhd, yang dilaporkan akan memberhentikan 543 kakitangan dari kumpulan New Straits Times Press (NSTP) pada Mac tahun depan.

Dua bulan sebelumnya, akhbar berbahasa Melayu paling lama, Utusan Malaysia telah menamatkan operasinya pada 9 Oktober, dengan akhbar Kosmo juga menghadapi nasib yang sama.

Shamsuddin mengakui langkah pengecualian cukai itu mengambil masa agak lama untuk dilaksanakan berdasarkan keadaan ekonomi semasa, tetapi berkata ia merupakan langkah yang efektif.

"Akhirnya ia skim menang-menang untuk pekerja dan majikan dan perlu diperluaskan ke industri lain.

"Sudah lama kita mencadangkan perkara ini tetapi hany sekarang ia mendapat perhatian kerajaan," katanya lagi.

Mengulas berkenaan isu pemberhentian pekerja, beliau menjangkakan trend tahun depan tidak akan banyak berbeza dengan tahun ini terutama dalam industri perkhidmatan dan pembuatan.

“Sektor perkhidmatan yang lebih banyak memperkenalkan automasi dan bahagian perbankan juga banyak memberhentikan pekerja atas sebab sama. Apabila mendigitalkan operasi dan lebih banyak transaksi atas talian, mereka tidak memerlukan pekerja yang ramai.

Seperti juga industri pembuatan yang berdepan keadaan sukar ekoran harga barang yang meningkat, selain kos operasi di negara lain yang lebih rendah," katanya lagi.

Pada 4 November lalu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran memberitahu Dewan Rakyat sebanyak 24,600 pekerja sektor swasta diberhentikan kerja sehingga 30 September lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 21,625 orang terlibat dengan pemberhentian biasa, manakala 2,975 pekerja pula terbabit dalam Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

Pekerja terjejas di sektor pembuatan seramai 7,944 orang, sektor aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan (7,309); perdagangan, borong dan runcit (2,123), aktiviti kewangan dan insurans (1,748), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan serta minuman (1,049). 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS