Permohonan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM Azilah Hadri untuk menyemak semula keputusan yang mensabitkannya atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada April tahun depan, menurut peguamnya.
J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah memberitahu pemberita bahawa mahkamah tertinggi itu telah menetapkan 20 April 2020 untuk mendengar kes itu.Dia juga mengesahkan bahawa Azilah memfailkan permohonan itu minggu lalu, termasuk akuan bersumpah (SD) yang antara lain mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak mengarahkannya untuk membunuh Altantuya pada 2006.
"Ya, kami mengesahkan (telah memfailkan) permohonan Peraturan 137. Ia adalah permohonan semakan yang disokong oleh afidavit dan SD," katanya ketika ditemui di Istana Kehakiman di Putrajaya.
"Kami ingin mengenepikan keputusan Mahkamah Persekutuan (yang mensabitkan Azilah dan menjatuhkan hukuman mati) dan memohon perbicaraan semula," katanya lagi.
Tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes bagi permohonan Azilah pada pagi ini, yang dibuat di depan timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Azniza Mohd Ali.
Selain peguam Azilah, turut hadir ialah Muhammad Shafee Abdullah dan Sangeet Kaur Deo, masing-masing mewakili Najib dan keluarga Altantuya.
Menurut Shafee, dia telah memfailkan permohonan untuk mencelah dalam permohonan semakan Azilah, memandangkan SD bekas anggota polis itu mengaitkan anak guamnya.
Sementara itu, Sangeet memberitahu pemberita bahawa pihaknya memohon untuk menjadi pemerhati bagi keluarga mangsa.
Pemberita turut bertanya Kuldeep sama ada Azilah atau peguamnya akan membuat laporan polis berkenaan SD yang dibuatnya.
Ia susulan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Huzir Mohamad semalam bahawa mereka perlu melihat SD itu terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
Kuldeep berkata pihaknya telah menyerahkan SD dan afidavit kepada Pejabat Peguam Negara, selain permohonan di mahkamah, justeru tiada keperluan untuk membuat laporan polis.
"Tiada keperluan untuk buat laporan polis. Kita ada permohonan di mahkamah. Kita sudah serahkan (dokumen) kepada peguam negara. Jadi ia memadai," katanya.