Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad melahirkan rasa kecewa dan dukacita dengan masalah vandalisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini berikutan sikap segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab dan melakukan kerosakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur sebaik sahaja beberapa jam ia dibuka semula semalam.

“Itu satu perkara yang cukup mendukacitakan dan rasa kecewalah, bila kita baru saja buka, ramai yang beri pujian tetapi malangnya ada juga golongan yang bangga dengan merosakan harta awam.

“Jadi, kita harap masyarakat kita boleh lepaskan diri mereka daripada keinginan kononnya mahu meninggalkan tandanya di satu-satu tempat dan merasa bangga dengan usaha sebegitu,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini

Khalid berkata demikian mengulas masalah vandalisme yang berlaku di Taman Tasik Titiwangsa.

Taman Tasik Titiwangsa yang baru dibaik pulih dan dinaiktaraf selama hampir setahun telah dibuka secara rasminya kepada umum pada Ahad, namun dilaporkan telah berlaku kerosakan.

Antara kerosakan serta kesalahan yang didakwa dilakukan pengunjung adalah vandalisme di papan tanda dengan contengan "awek pailang", membuang sampah merata-rata, penggunaan basikal melalui operator yang tidak berlesen dan banyak lagi.

Mengulas lanjut, Khalid mahu semua pihak menyemak semula di mana kesilapan dalam perkara tersebut.

“Perkara-perkara sebegini saya rasa kita pun perlu semak di mana kesilapan kita, adakah dalam soal pendidikan, adakah dalam soal pembesaran yang dikawal oleh ibu bapa, cara hidup yang terlalu sibuk dan sebagainya.

“Tapi masalah ini tidak seharusnya wujud lebih-lebih lagi bagi Taman Tasik Titiwangsa yang begitu lama orang ramai tunggu untuk menyaksikan ianya dibuka bagi menikmati keselesaan dan keindahan kawasan terbabit,” katanya.

Oleh demikian, Khalid berkata pihak kementeriannya akan mempertimbangkan penambahan jumlah kamera litar tertutup (CCTV) dan kawalan pihak berkuasa.

“Dari segi vandalisme ini mahu tak mahu, nampak gaya kita tambah jumlah CCTV dan kawalan serta kita harap perkara ini boleh tanam nilai-nilai menghargai dan sama-sama jaga harta awam,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu peniaga basikal haram yang berada di sekitar taman rekreasi tersebut, Khalid meminta pihak terlibat segera ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mendapatkan lesen penjaja.

“Kalau ada mana-mana pihak yang mahu menjalankan perniagaan mereka perlu datang ke DBKL bagi mengikut prosedur yang lebih sistematik. Bukan kata kita tak bagi mereka (berniaga) tetapi perlu ada lesen dan ikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS