Nooryana Najwa tampil mempertahankan bapanya, Najib Razak dan menyifatkan dakwaan terbaru terhadap bekas perdana menteri sebagai cubaan untuk mengalih perhatian rakyat.
Dalam satu catatan di laman sosial Instagram miliknya, dia menyifatkan dakwaan ayahnya mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang berasal dari Mongolia sebagai fitnah.
"Bapa saya bukan seorang pembunuh," tulisnya menggunakan huruf besar sebagai penegasan pada hantaran yang disertai tanda pagar antaranya, "bossku," "daddyku" dan "Allahmahakuasa."
"Saya baru saja menghabiskan masa dua jam untuk mendengar (bekas Presiden Amerika Syarikat) (Barack) Obama bercakap tentang keperluan pemimpin politik untuk menyedari bahawa 'anda berada dalam kedudukan ini untuk buat kerja anda dan bekerja untuk rakyat'.
"Dan siapakah yang menjadi mangsa terbesar dalam semua permainan yang tidak pernah berakhir dengan pengkhianatan dan fitnah?
"Rakyat, anak-anak kita, cucu kita ... Adakah kita akan membenarkan pembohongan dan penipuan untuk menjadi satu kejayaan baru di negara kita?" soalnya.
Terdahulu, Najib juga menolak dakwaan itu dan menyifatkannya satu plot oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengalih tumpuan rakyat terhadap kelemahan mereka.
Najib dan anak perempuannya mengulas laporan eksklusif Malaysiakini berhubung akuan bersumpah (SD) bekas anggota komando polis, Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri.
Ketika mengakui buat pertama kalinya bahawa dia dan Sirul Azhar Umar membunuh warga Mongolia tersebut, Azilah mendakwa dia hanya menuruti perintah yang jelas "shoot to kill" daripada Najib, yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri.
Butiran ini terkandung dalam permohonan yang difailkan oleh Azilah, yang memohon Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula keputusannya dalam sabitan kesalahan dan hukuman mati yang dikenakan kepadanya dan Sirul, yang juga bekas anggota UTK, pada tahun 2015.
Azilah juga sedia untuk memberikan keterangan lengkap mengenai operasi rahsia di mahkamah terbuka supaya "keadilan akan disampaikan".
Mahkamah menetapkan esok untuk pengurusan kes.
Azilah, yang menjalani hukumannya di penjara Kajang, mendakwa terdapat penutupan bukti dan fakta material semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.