Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes LTTE pengutip besi buruk dipindah ke mahakamah tinggi KL
Diterbitkan:  Dec 16, 2019 1:34 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Kes seorang pengutip besi buruk yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Maziah Joary Mohd Tajudin memutuskan perkara itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui memohon untuk memindahkan kes A Kalaimughilan, 28, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

“Pihak pendakwaan telah menyediakan izin untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi. Mohon kes ini dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya semasa sebutan kes itu.

Sementara itu, mahkamah menolak permohonan jaminan oleh Kalaimughilan selepas mendengar hujahan peguamnya, Yoges M. Verasuntharam dan pihak pendakwaan.

Yoges memohon jaminan itu dengan alasan mahkamah berkenaan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan jaminan mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.

“Anak guam saya adalah penanggung tunggal keluarga serta menjaga bapa dan adik perempuannya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata anak guamnya pernah terbabit dalam kemalangan dan kini mengalami masalah sakit tulang belakang dan migrain yang memerlukan rawatan di Klinik Sungai Buloh.

Bagaimanapun, Low membantah permohonan jaminan itu dengan alasan hanya Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa berhubung isu jaminan.

“Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan isu jaminan bagi kesalahan keselamatan,” katanya.

Pada 29 Okt lepas, Kalaimughilan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada pukul 9.30 pagi dan 12.35 petang, 10 Okt lepas.

Kesemua pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

- Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS