Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kerusi parlimen Kimanis di Sabah akan diadakan pada 18 Januari 2020, iaitu pada hari Sabtu.

Perkara itu diumumkan pengerusi SPR Azhar Harun dalam sidang media hari ini, selepas mempengerusikan mesyuarat khas di ibu pejabat SPR hari ini.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari (Sabtu), manakala hari pengundian awal pada 14 Januari (Selasa).

Azhar berkata, kawasan parlimen itu mempunyai 29,664 pengundi berdaftar, termasuk sembilan pengundi pos dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

"SPR akan menggunakan Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di Beaufort sebagai pusat penamaan calon dan kiraan undi.

"Kami menjangkakan kadar keluar mengundi 70 peratus," katanya.

Azhar Harun

Sejumlah 20 pusat mengundi akan dibuka, dengan 69 saluran, bermula pukul 7.30 pagi hingga lima petang pada 18 Januari. Keseluruhan proses akan melibatkan 653 kakitangan.

Secara keseluruhan, Azhar menjangka PRK tersebut, dengan tempoh kempen 14 hari, akan memerlukan peruntukan berjumlah RM3.6 juta.

Kerusi parlimen Kimanis kosong susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos yang membatalkan keputusan PRU ke-14 untuk kerusi itu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan bekas menteri Anifah Aman untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang antara lain berkata terdapat penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Ia selepas calon Warisan pada PRU ke-14, Karim Bujang memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun 2018.

Berikutan keputusan itu, peguam Anifah, Tengku Ahmad Fuad dilaporkan berkata anak guamnya akan memfailkan permohonan semakan.

Anifah Aman

Ditanya berkenaan soal itu, Azhar berkata SPR belum dimaklumkan tentang mana-mana perintah mahkamah berkaitan, dan maka akan meneruskan tugasnya untuk memenuhi kerusi parlimen itu yang kini kosong.

"Kita perlu ikut keputusan mahkamah (persekutuan), kecuali ia diketepikan. Setakat ini, Tiada perintah (untuk ketepi keputusan)," katanya lagi.

Pada PRU lalu, Anifah menang di kerusi itu dengan hanya 156 undi. Dia meraih 11,942 undi dalam pertembungan tiga penjuru, menewaskan Karim yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang mendapat 1,300 undi.

Anifah keluar Umno pada 19 September untuk menjadi anggota parlimen bebas.

Timbul spekulasi bahawa Anifah mungkin akan kembali bertanding menggunakan tiket BN.

Selain Anifah, anaknya Ahmad Zachry Anifah juga diperkatakan akan dicalonkan sebagai calon BN.

Umno dijangka berdepan cabaran sukar jika PRK kali ini menjadi pertembungan tiga penjuru antara Anifah, Umno dan Warisan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS