Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kupasan debaton terlalu baik, sampai menyakitkan - Pembantu menteri

Walaupun Pembantu Menteri Kepada Kementerian Pelajaran Dan Inovasi Negeri Sabah, Jenifer Lasimbang memuji kupasan peserta Dabaton Parlimen semalam, namun katanya, ada keperitan yang harus ditelan.

Jenifer berkata peserta debaton berjaya mengupas usul yang dibentangkan dengan begitu baik sekali, sehingga di satu peringkat, ia terasa “menyakitkan.”

“Sampai di satu peringkat, saya rasa, ia (perdebatan) terlalu baik, sampai ia menyakitkan. Kenapa? Kerana itulah kebenarannya, itulah realitinya. Dan kamu (peserta) tahu, (memandangkan) kamu telah buat kajian kamu.

“[...] Saya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana telah memilih satu topik yang begitu kritikal pada masa yang juga kritikal, untuk kita membina Malaysia bersama-sama.

“Kita perlu beri masa supaya kita dapat bergerak ke hadapan, untuk bekerja bersama-sama demi sebuah negara yang lebih baik (berbanding sekarang),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Debaton Parlimen di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam yang disertai 40 pendebat.

Debaton itu membahaskan usul “Memposisikan Kedudukan Sabah dan Sarawak” dengan pihak kerajaan mencadangkan untuk mengembalikan kedudukan kedua negeri tersebut agar selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pihak kerajaan yang diketuai Anis Afina, Muslimin Mustari dan Muhammad Wafi Anwar, mencadangkan agar satu pindaan dibuat terhadap Perkara 1 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan peruntukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia.

Kata mereka, pindaan itu dapat memberikan manfaat kepada pelbagai isu, antaranya isu royalti minyak, pendidikan dan peluang pekerjaan buat rakyat Sabah dan Sarawak.

Ketika mengupas pendirian mereka itulah, banyak isu di Sabah dan Sarawak dibangkitkan, antaranya, sosioekonomi rakyat negeri berkenaan yang masih jauh ketinggalan meskipun merupakan antara pengeluar hasil sumber asli yang utama kepada negara.

Turut dibangkitkan bagaimana Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan dalam aspek pendidikan seperti kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman, selain cadangan supaya lebih banyak peluang pekerjaan dibuka kepada anak Sabah dan Sarawak menerusi penerokaan sektor baru.

Pihak pembangkang yang diketuai oleh Iskandar Zulkarnain Ramli, Aniq Qawiem dan Nur Fatehah Nordi@Nordie mendakwa pendirian kerajaan tidak menggariskan mekanisme yang jelas bagaimana manfaat-manfaat tersebut dapat dicapai dengan pindaan yang dicadangkan.

Ekoran itu, pembangkang mencadangkan pendekatan negosiasi dengan pemegang taruh, yang menurut mereka adalah lebih baik bagi mencapai manfaat-manfaat tersebut berbanding pindaan yang dicadangkan kerajaan.

Debaton itu merupakan sesi ketiga dianjurkan, dengan kerjasama Malaysiakini, Parlimen Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dua debaton sebelum ini membahaskan usul “Pekerja Prekariat dalam Ekonomi Gig” di Parlimen Malaysia, serta usul “Keselamatan Siber dan Privasi Data” di Universiti Sains Malaysia.

Acara kali ini turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong, Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Ben Chong; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, PM Dr Rahmad Nordin; wakil Malaysia Reform Intiative (Mari), Masjaliza Hamzah, serta wakil KPM, Noorarizawaty Aris; serta ketua pengarang Malaysiakini, Steven Gan.

Ia dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Mohd Hasnon, dibantu Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah.

Pada 9 April lalu di Dewan Rakyat, usul cadangan kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sawarak tidak diluluskan di peringkat dasar memandangkan tidak berjaya mendapat mendapat sokongan dua per tiga anggota Dewan Rakyat.

Liew dalam ucapan alu-aluannya, turut mengimbau saat rang undang-undang itu gagal diluluskan, kerana kekurangan 10 undi daripada 148 undi yang diperlukan untuk pindaan perlembagaan.

“Tetapi itu satu usaha yang baik bermula. Kita dapat lihat, dengan usaha ini, rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia telah sedar kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 ini,” katanya.

Mencapah dari usul

Debaton itu yang disiarkan secara langsung di laman Youtube dan Facebook Malaysiakini, KiniTV, Astro Awani, Sinar Harian dan RTM itu turut membuka undian dalam talian bagi memilih pemenang dan pendebat popular, manakala pendebat terbaik dihakimi oleh barisan juri.

Ketua pembangkang, Iskandar yang memenangi anugerah pendebat popular, menyifatkan acara debaton sebagai satu perkembangan baik dalam budaya debat yang menggalakkan mahasiswa untuk berani menyuarakan pandangan.

Pelajar tahun ketiga jurusan Sains Sosial Sejarah UMS itu menyifatkan peserta debaton berjaya membuat kajian yang banyak, serta berjaya memastikan perdebatan tidak terlalu “mencapah” daripada usul, seperti yang disaksikan sering berlaku di Dewan Rakyat.

Anugerah pemenang pendebat terbaik turut dimenangi pendebat pembangkang, Nur Fatehah yang merupakan pelajar tahun kedua jurusan Pendarasan Islam UMS.

Bagi Nur Fatehah, acara debaton perlu diteruskan kerana ia memberi ruang kepada mahasiswa yang tidak terlibat dalam aktiviti debat konvensional, untuk turut tampil menyuarakan pandangan masing-masing dalam mengupas isu yang mungkin tidak diketahui ramai sebelum ini.

Kedua-dua mereka memenangi langganan Malaysiakini untuk seumur hidup.

Bagi peserta termuda, Muhammad Shahrun Sahabat, 18, dari Politeknik Kota Kinabalu, biarpun wujud rasa rendah diri kerana perlu bersaing dengan mereka yang lebih tua dan lebih banyak pengalaman, dia menganggapnya sebagai satu pengalaman berharga untuk lebih memahami bidang debaton.

Berdasarkan undian yang dijalankan, usul “Memposisikan Kedudukan Sabah dan Sarawak”, diterima.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS