Keutamaan haji dan umrah bagi masyarakat Melayu adalah faktor mengapa ibadah itu menjadi salah satu bentuk sogokan rasuah, kata Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Akhbar Satar.
"Ini sudah lama berlalu dan dibuat.
“Kalau kamu lihat Melayu suka dapat pergi umrah dan haji, jadi perasuah bagilah, tetapi mereka perlu bagi sesuatu balik seperti beri kontrak atau percepatkan bayaran," katanya seperti dipetik Free Malaysia Today hari ini.
Akhbar yang juga bekas presiden Transparency International Malaysia (TI-M) bagaimanapun berpandangan amalan haji dan umrah yang ditunaikan ekoran rasuah tidak akan memberi sebarang manfaat.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, bahawa rasuah di kalangan penjawat awam bukan lagi sekadar membabitkan wang, hiburan dan seks, tetapi juga pakej haji dan umrah.
"Ia amat memalukan kerana diselubungi ciri Islamik dan sebagainya tetapi apa yang dibuat langsung tidak patut dilakukan," katanya dalam wawancara bersama sebuah stesen televisyen baru-baru ini, seperti dipetik Free Malaysia Today.
Mengulas lanjut, Akhbar berkata amalan rasuah hanya memberi 'keuntungan' sedikit kepada penerima, tetapi membawa kesan buruk yang lebih besar.
“Sebab kalau terima rasuah ini orang akan arahkan kita dalam semua perkara, sedangkan mereka dapat pendapatan berlipat kali ganda.
“Ini beri kesan buruk pada projek seperti kualiti rendah, lambat siap dan kadang kala beri kesan tak baik pada negara,” katanya lagi seperti dipetik.