Tahun 2020 merupakan tahun penting bagi kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan baki 40 peratus janji dalam manifesto PH yang masih belum ditunaikan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyebut bahawa 60 peratus daripada janji manifesto PH telahpun ditunaikan dan tinggal 40 peratus baki yang perlu dilaksanakan sebelum 2023.
"(Tahun) 2020 adalah penting sebagai permulaan untuk laksanakan semua janji yang kita buat dan kita kena mula tahun depan, supaya ia akhirnya akan dapat disempurnakan sebelum 2023," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan rasmi ke Perpustakaan Digital Butterworth, di Butterworth hari ini.
Menurutnya, antara janji manifesto PH yang telah ditunaikan termasuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menurunkan harga minyak daripada RM2.20 kepada RM2.08 dan memperkenalkan pas bulanan RM100 transit aliran ringan (LRT) kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang manakala pengguna di Pulau Pinang juga dapat menikmati pas bulanan di negeri ini dengan hanya RM50 sebulan.
Lim turut menyifatkan kerajaan PH sebagai sebuah kerajaan yang bersih dengan buat pertama kalinya dalam sejarah negara semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada umum.
"Kita berharap bahawa iltizam bersih kerajaan PH ini dapat dihayati dan disokong oleh semua rakyat," katanya.
Terdahulu, Lim yang juga anggota parlimen Bagan berkata perpustakaan digital pertama di Seberang Perai itu akan mula beroperasi pada awal Februari tahun depan dari pukul 8 pagi hingga 7 malam setiap hari.
Katanya, kerja pembinaan projek yang menelan kos RM7 juta itu bermula pada April tahun lepas dan kini telah mencapai 90 peratus siap.
Beliau berkata terdapat perancangan untuk melanjutkan waktu operasi perpustakaan digital itu, bagaimanapun ia bergantung kepada permintaan dan sambutan orang ramai.
- Bernama