Kerajaan akan melaksanakan tender terbuka prakelayakan dalam memberi kontrak penyelenggaraan dua kapal selam Scorpen pada 2021, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 9 Dis, beliau berkata proses prakelayakan dilakukan mengikut dasar kerajaan.
"Rancangan penyelenggaraan Kapal Selam jenis Scorpene, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak mulai tahun 2021 akan dilaksanakan secara tender terbuka pra-kelayakan.
"Pendekatan ini adalah selaras dengan dasar terkini tatacara perolehan kerajaan," katanya.
Mohamad berkata pendekatan itu adalah penyelesaian bagi kos penyelenggaraan kapal selam agar lebih kompetitif.
Mohamad berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Bersatu Suhaimi Abdullah.
Suhaimi bertanya bagaimana kerajaan dapat menangani kos penyelenggaraan tahunan Scorpene yang dilihat sebagai beban besar kepada kerajaan.
Malaysia memesan kapal selam Scorpene dengan kos RM3.4 bilion pada tahun 2002 dan dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, sebuah syarikat pembinaan kapal selam dari Sepanyol.
KD Tunku Abdul Rahman tiba di perairan Malaysia pada September 2009 dari Perancis, dan KD Tun Razak di pangkalan RMN di Teluk Sepanggar, Sabah pada bulan Julai 2010.
Mohamad berkata kos penyelenggaraan kapal selam berkenaan semakin lama akan semakin tinggi.