Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos tidak rela bangunan partinya di Selangor dijual.
Beliau dilaporkan Sinar Harian membantah keputusan kepimpinan Umno negeri yang berhasrat menjual bangunannya di Selangor bagi menjana pendapatan kerana akaun parti telah dibekukan.
"Saya sanggup keliling seluruh Selangor untuk mengutip dana dengan membawa tabung daripada melihat bangunan itu dijual.
"Dan jika pengurusan tertinggi masih berhasrat untuk menjual, saya tidak teragak-agak untuk kaveat bangunan tersebut," katanya, semalam.
Kata Jamal, langkah menjual bangunan tersebut adalah tidak wajar dan perlu dielakkan kerana ia mercu tanda kepada kekuatan ahli serta parti Melayu itu di Selangor.
"Kita tahu, untuk bangunan itu beroperasi pastinya melibatkan perbelanjaan bagi penyelenggaraan, kakitangan, elektrik dan lain-lain namun langkah menjual bangunan adalah tidak wajar.
"Bangunan ini mempunyai sejarah yang tersendiri dan ia merupakan lambang kekuatan Umno di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian.
Semalam, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan dipetik Sinar Harian berkata pihaknya mendapat banyak maklum balas berhubung perkara itu ketika perbincangan bersama semua ahli jawatankuasa empat peringkat sebelum ini.
Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak dapat mendengar dan berbincang dengan Jamal tentang perkara itu di dalam mana-mana mesyuarat rasmi yang dibuat sebelum ini.
"Kita sentiasa terbuka dan mendengar (sebarang pandangan)," katanya.