Laporan Khas | Susulan laporan Malaysiakini mengenai jadual ketibaan dan pelepasan bas yang tidak teratur, syarikat pengangkutan awam Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Kuala Lumpur (RapidKL) mula mengemas kini paparan jadual perjalanan bas mereka.
Jadual perjalanan bas berkenaan diletakkan di setiap stesen MRT di sekitar Lembah Klang, dengan memaparkan waktu puncak dan bukan puncak pada hari minggu dan hujung minggu serta nombor bas bagi setiap stesen yang dilalui.
Bagaimanapun, jadual perjalanan bas yang ditampal itu bukanlah jadual baru, sebaliknya telah dikemas kini dengan memasukkan waktu puncak dan bukan puncak yang sebelum ini tidak dinyatakan.
Baca: Perkhidmatan bas perantara MRT masih lemah meski berbilion dibelanja
Menurut jurucakap RapidKL, penerbitan jadual tersebut merupakan salah satu langkah yang diambil menjelang tahun 2020.
“Hal ini bagi menggantikan informasi kekerapan bas yang telah lama (outdated) di stesen-stesen bas kami.
“(Jadual yang ditampal) juga menyediakan informasi yang lebih lengkap kepada pengguna bas MRT pada masa sama, ia juga akan membantu pengguna untuk lebih memahami perbezaan kekerapan antara waktu puncak dan bukan puncak,” katanya menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada Malaysiakini.
Pada 2 Dis lalu, Malaysiakini melaporkan masa ketibaan dan pelepasan bas perantara agak tidak teratur sehingga ada pengguna yang terpaksa menunggu sehingga 34 minit pada satu masa.
Baca: ‘Perkhidmatan bas perantara MRT bergantung pada waktu puncak atau bukan’
Keadaan bertambah buruk apabila jadual ketibaan, pelepasan bas, waktu puncak dan waktu bukan puncak tidak dipaparkan untuk orang awam.
Pada 10 hingga 13 Sept dan 17 hingga 20 Sept lalu, Malaysiakini telah berhubung dengan 13 pengguna bas perantara MRT dan kesemua responden yang terlibat secara sukarela bersetuju merekodkan masa mereka tiba dan bertolak dari perhentian bas atau stesen MRT.
Justeru, berdasarkan pemerhatian Malaysiakini melalui data yang direkodkan, didapati ada kalanya pengguna terpaksa menunggu bas lebih lama daripada apa yang dijanjikan oleh RapidKL sebelum ini iaitu dalam sela masa 10 hingga 15 minit.
RapidKL turut tidak memaparkan secara khusus berkenaan waktu puncak dan bukan puncak.
Sementara itu, menurut pegawai perhubungan awam Prasarana Malaysia Berhad yang enggan dinamakan berkata sebelum ini pengguna mungkin menyangka waktu puncak dan bukan puncak juga berada dalam sela masa yang ditetapkan.
“Mungkin orang salah faham yang dirujuk 10 minit itu, mereka anggap waktu puncak dan bukan puncak juga adalah sama.
“Bila tengok dalam jadual ini (jadual terbaru yang dipaparkan) agak panjang. Ia tidak sama (dengan sebelum ini) jadi orang takkan keliru (antara waktu puncak dan bukan puncak,” katanya.
Ironinya, pemaparan jadual perjalanan bas mula dipasang kira-kira seminggu selepas Malaysiakini melaporkan berkenaan masa perjalanan bas yang tidak teratur. Bagaimanapun, RapidKL enggan mengulas lebih lanjut ketika disoal mengenai perkara itu.
Rentetan daripada pemaparan jadual itu, Malaysiakini berhubung semula dengan pengguna bas perantara MRT untuk mendapatkan maklum balas.
Menurut Amirah Hazuanie, 24, dia berpuas hati dengan jadual baru yang dipaparkan pada papan kenyataan di stesen MRT Bandar Utama.
Ini kerana, katanya, jadual yang disediakan memudahkannya untuk menganggar masa ke tempat kerja.
“Puas hati sebab kalau ikutkan, tidak perlu tunggu (bas) lama sangat. Selang masa 20 minit bas sudah tiba.
“Saya masuk kerja jam 7 pagi. Perjalanan bas pertama jam 6 pagi, bas kedua pula pada jam 6.15 pagi. Jadi kalau terlepas bas pertama, pengguna tidaklah menunggu lama sangat,” katanya.
Menurut pengguna bas di stesen MRT Sungai Buloh, Hazman Naim Adnan, 24, dia gembira kerana jadual perjalanan bas sudah dipaparkan.
Bagaimanapun, dia berharap agar pemandu bas perantara MRT mengikuti masa perjalanan seperti yang tertera pada jadual.
“Saya rasa jadual (terkini) akan lebih efektif sebab saya boleh menganggar masa bila sampai ke stesen MRT untuk mengejar bas.
“Bagaimanapun, di perhentian bas lain seperti di kawasan perumahan, faktor-faktor luaran lain seperti keadaan trafik yang sesak akan menjejaskan jadual perjalanan bas,” katanya.
Mengakui bahawa bas dinaikinya yang bernombor T101 tidak ada masalah pada waktu puncak dan bukan puncak, Hazman turut berharap syarikat RapidKL memanfaatkan penggunaan teknologi dengan mengaplikasikan lokasi dan masa sebenar bagi setiap bas perantara MRT.