Bekas peguam, Samantha Chong, ingin tahu kenapa tidak ada perkembangan mengenai laporan polis yang difailkan enam bulan lalu, mendakwa dirinya telah diserang secara seksual.
Dalam satu siri ciapan di Twitter yang ditujukan kepada Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dan Peguam Negara, Tommy Thomas, Chong berkata dalam banyak keadaan, pegawai penyiasat tidak mengendahkannya.
"Kemas kini (perkembangan kes) susah nak dapat. Adakah perlu enam bulan lagi?
"Inikah caranya anda melayan mangsa serangan seksual? Dan kemudian seolah-olah terkejut kenapa ramai mangsa memilih untk berdiam diri?
"Kenapa ditangguh? Cukup-cukuplah," katanya di Twitter.
Chong mendakwa suspek meraba tubuhnya dua kali dalam majlis jamuan tahunan peguam jenayah di sebuah hotel di Petaling Jaya pada bulan Jun lalu.
Katanya lagi, dia telah memberi amaran kepada suspek apabila dia meraba dan menjauhkan dirinya daripada lelaki tersebut.
Bagaimanapun, dia mendakwa lelaki itu, yang dikatakannya mabuk, mengikutinya dan mula mengancam serta melemparkan kata-kata tidak senonoh ke arahnya.
Berikutan laporan polis berhubung perkara itu, polis Petaling Jaya menangkap suspek yang didakwa itu dan membuka dua kertas siasatan.
Satu siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan, manakala satu lagi Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang.
Malaysiakini telah menghubungi pihak polis bagi mendapatkan penjelasan mengenai aduan Chong.
Dalam ciapannya, Chong berkata dia telah berhenti menjadi seorang peguam kerana "takut dengan tindak balas" daripada peguam lain.
Katanya, dia mengalami trauma yang teruk akibat kejadian itu.
"Suspek kini telah meneruskan kehidupannya dengan gembira. Sementara itu, mimpi buruk tersebut menjadi kawan yang setia kepada saya.
"Saya penat cuba berusaha keras untuk keluar dari bayang-bayang, sementara saya tidak dimaklumkan (perkembangan kes)," katanya.