Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah benarkan pasport Ku Nan dipulang sementara

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Tengku Adnan Tengku Mansor mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau membuat pemeriksaan kesihatan dan menjalani rawatan susulan di Melbourne, Australia, hujung tahun ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Tengku Adnan, 68, selepas mendengar hujahan daripada peguam Tan Hock Chuan yang bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, serta Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Mahkamah memerintahkan supaya pasport itu diberikan kepada Tengku Adnan pada 23 Dis dan diserahkan semula kepada mahkamah pada atau sebelum 2 Jan 2020.

Mohamed Zaini berkata mahkamah mengambil kira faktor sebelum ini Tengku Adnan telah membuat dua permohonan sama dan beliau telah kembali ke negara ini.

“Mahkamah juga mempertimbangkan kes bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman di Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan pasport dikembalikan sementara untuk tujuan mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.

“Atas alasan ini, mahkamah membenarkan perintah seperti yang dimohon" kata hakim itu.

Terdahulu, Tan memberitahu mahkamah tujuan utama permohonan itu dibuat adalah kerana Tengku Adnan perlu mendapatkan rawatan lanjut bagi penyakit darah tinggi dan masalah tulang belakang yang dihadapi bermula 23 Dis hingga 31 Dis depan di sebuah hospital pakar di Melbourne.

Tiada butiran sokongan lengkap

Beliau turut berhujah anak guamnya perlu berehat selama sehari sejurus tiba di Melbourne sebelum memulakan pemeriksaan kesihatan dan menjalani rawatan yang memakan masa beberapa hari selain terdapat kemungkinan untuk beliau ditahan di wad.

Bagaimanapun, Julia membantah permohonan itu atas alasan rawatan yang diberikan untuk pemohon hanyalah untuk merawat simptom penyakit yang dihadapinya.

“Saya juga telah menghantar e-mel kepada doktor yang berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut namun beliau tidak dapat memberikan tarikh yang spesifik antara 23 dan 31 Dis depan. Selain itu faktor musim percutian bagi perayaan Krismas juga telah bermula.

“Permohonan ini lebih kukuh sekiranya terdapat butiran sokongan yang lengkap berkenaan tarikh rawatan ini," katanya.

Perbicaraan di peringkat pendakwaan kes Tengku Adnan telah selesai dan pada 14 Okt lalu, dan mahkamah memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, tiga tahun lepas.

Mahkamah menetapkan 17, 20, dan 21 Jan untuk prosiding bela diri.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, 60, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tuduhan terhadap Ahli Parlimen Putrajaya itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS