Seorang majistret dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini, atas lapan pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan nilai RM295,000 sejak Julai lalu.
Tertuduh, Mohamad Amin Shahul Hamid, 38, bagaimanapun dengan tenang memohon dirinya dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.
Mohamad Amin yang memakai baju kemeja putih dan seluar hitam didakwa melakukan kesalahan itu antara 5 Julai hingga 22 Okt lalu melibatkan tiga pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM185,000 dan lima dakwaan menerima rasuah bernilai RM110,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Hassan Basri Ahmad Sutan Modo sebagai dorongan kepada tertuduh untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap dirinya yang berdepan pendakwaan memiliki rokok seludup di Mahkamah Majistret Kuala Lipis.
Suapan itu yang melibatkan jumlah antara RM10,000 dan RM100,000 didakwa dilakukan di beberapa lokasi iaitu jalan besar Kuala Medang dan hadapan kedai runcit kawasan perniagaan Felda Sungai Koyan di Lipis dan tempat letak kereta Taman Bukit Koman di Raub, dekat Kuantan.
Bagi kesalahan meminta, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala pendakwaan terhadap kesalahan menerima rasuah dikendalikan di bawah Seksyen 17 (a) akta sama.
Kedua-dua seksyen itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Roslan Mat Nor menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan diwajibkan melaporkan diri setiap bulan.
"Saya mohon mahkamah mempertimbangkan bahawa kesalahan yang didakwa dilakukan tertuduh melibatkan jumlah yang besar dan tertuduh juga merupakan penjawat awam yang sedikit sebanyak kesalahan ini memberi gambaran tidak sewajarnya terhadap perkhidmatan kehakiman," katanya.
Bagaimanapun peguam Mohd Azharul Ab Talib merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak berpotensi melarikan diri kerana mahu membersihkan namanya melalui perbicaraan, selain jaminan yang tinggi seolah-olah menghukum tertuduh yang masih belum dibuktikan bersalah.
"Penjamin tertuduh, iaitu abangnya juga tidak berpendapatan tinggi sebaliknya hanya bekerja sebagai guru di pusat tuisyen dan pengetahuan secara mengejut bahawa tertuduh akan didakwa hari ini juga merencatkan usaha dia mengumpul wang yang banyak bagi tujuan jaminan.
"Saya faham kes ini dianggap sebagai kes berprofil tinggi namun saya mohon ia tidak dijadikan alasan untuk mahkamah meletakkan jumlah jaminan tinggi. Malah tertuduh juga masih berkhidmat sebagai penjawat awam iaitu sebagai Timbalan Pendaftar di Istana Kehakiman," katanya.
Mohd Ghazali selepas mempertimbangkan rayuan dan hujahan itu membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM25,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Jan depan.
Tertuduh menjelaskan jaminan tersebut.
-Bernama