Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Muafakat Nasional pilihan Melayu, luar bandar, pendapatan rendah, orang muda'

Satu kaji selidik dijalankan firma Emir Research mendapati Muafakat Nasional - yang menggabungkan PAS dan Umno - paling popular untuk responden Melayu, bumiputera, penduduk luar bandar, muda dan golongan berpendapatan rendah.

Kajian itu menunjukkan lebih separuh - atau 53 peratus - responden Melayu dan bumiputera cenderung kepada pakatan pembangkang itu, manakala hanya 33 peratus berkata mereka akan memilih PH jika pilihan raya umum diadakan sekarang.

Sejumlah 14 peratus pula memberitahu mereka akan memilih calon bebas.

Untuk melakukan kaji selidik itu mereka ditanyakan soalan: Antara parti politik berikut, mana satukah yang anda akan undi untuk kerusi parlimen?

Dapatan itu menunjukkan perbezaan yang ketara daripada kalangan responden Cina dan India, yang kebanyakannya mengatakan mereka lebih cenderung memilih PH.

Responden dari kawasan luar bandar juga lebih memihak kepada Muafakat Nasional.

Daripada kategori itu, 58 peratus memilih gabungan pembangkang parti Melayu itu, manakala hanya 33 peratus mengatakan mereka akan mengundi untuk PH.

Muafakat Nasional kurang popular dalam kalangan responden di bandar kerana hampir separuh - atau 48 peratus - berkata mereka akan mengundi PH, manakala 32 peratus memilih Umno-PAS.

Daripada semua kumpulan usia yang dianalisis, 42 peratus responden berusia 31 tahun atau lebih muda mengutamakan Muafakat Nasional berbanding 40 untuk PH.

Bagi kelompok respondek berumur 51 tahun dan ke atas 49 peratus menyokong gabungan parti pemerintah manakala untuk Muafakat Nasional adalah 33 peratus.

Gambaran saigan sengit

Daripada semua kumpulan pendapatan yang ditinjau, pakatan pembangkang Umno-PAS paling popular dalam kalangan responden yang mempunyai pendapatan bulanan isi rumah kurang daripada RM3,000. Muafakat Nasional mendapat 45 peratus sokongan daripada kelompok ini.

Sebaliknya, lebih separuh responden berpendapatan pertengahan dan tinggi memilih PH.

Apabila dianalisis secara menyeluruh dalam kalangan 1,992 responden, PH sedikit mendahului Muafakat Nasional.

Dengan mengambil kira faktor margin kesalahan, sokongan responden untuk PH adalah antara 38 dan 44 peratus, sementara untuk Muafakat Nasional adalah antara 35 dan 41 peratus.

"Keadaan ini dianggap sebagai persaingan sengit," kata laporan penyelidikan itu.

Jumlah tindak balas yang signifikan (17 peratus) untuk pilihan "calon bebas" itu, kata Emir Research, boleh disimpulkan sebagai "peningkatan kuasa ketiga" tetapi mengakui lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk menjelaskan keadaan tersebut.

Keputusan kaji selidik yang dijalankan di antara 5 Sept dan 10 Okt tahun ini disampaikan di ibu pejabat Emir Research di Bukit Damansara hari ini.

Diketuai oleh ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, Emir Research menggambarkan firma itu sebagai "pemikir bebas" yang memberi tumpuan kepada cadangan dasar strategik yang didorong data.

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS