Sebuah majlis makan malam melibatkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya akan diadakan di Hotel Renaissance di Kuala Lumpur malam esok.
Penganjuran majlis makan malam itu hadir ketika spekulasi berhubung kemungkinan kongres berasingan PKR diadakan hampir tenggelam selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Azmin berjumpa Rabu lalu.
Perjumpaan Azmin dan Anwar sehari sebelum kongres PKR di Melaka bermula sebelum ini dilihat sebagai perdamaian antara kedua-dua kem yang saling bergeser - dengan kata sepakat dicapai untuk Azmin menjadi perasmi kongres sayap Pemuda PKR (AMK).
Menurut jemputan majlis makan malam yang akan diadakan esok itu, ia dijangka bermula pada jam 6.30 petang.
Pemimpin parti yang dijangka hadir termasuk Azmin, naib presiden PKR Tian Chua, Zuraida Kamaruddin, Ali Biju, Ketua Wanita Haniza Talha, Timbalan Ketua Pemuda (AMK) Hilman Idham dan ahli jawatankuasa pusat R Sivarasa.
Zuraida mengesahkan akan menghadiri sebuah acara di Hotel Renaissance esok, namun berkata ia hanyalah "majlis makan malam".
"Tidak, bukan (kongres PKR yang berasingan). Ia majlis makan malam.
"Ia adalah majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kongres PKR yang diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.
Tian Chua juga mengesahkan akan menghadiri program di tempat sama esok.
Sementara itu, Azmin yang diminta mengulas berhubung program itu berkata tidak wujud rancangan untuk mengadakan kongres berasingan.
Azmin juga menegaskan bahawa majlis makan malam esok hanya untuk membentangkan Wawasan Kemakmuran Bersama dan Anwar turut dijemput.
"Tidak ada sebarang rancangan untuk mengadakannya (kongres berasingan). Kami hanya merasakan bahawa perwakilan harus diberi penjelasan (mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama).
"Makan malam esok adalah untuk membentangkan Wawasan Kemakmuran Bersama. Presiden (Anwar) juga dijemput," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Ames di Melaka petang tadi.
Kongres PKR di Melaka dijangka berakhir pada pukul 2.30 petang esok.
Terdahulu, Anwar dan Azmin dilihat cuba mendamaikan penyokong masing-masing dalam ucapan dasar mereka.
Bagaimanapun, sejumlah perwakilan yang berucap dilihat mengkritik Azmin di pentas kongres yang seterusnya menyebabkan sejumlah hadirin yang dipercayai penyokong timbalan presiden PKR itu meninggalkan dewan.