Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAU2019 | Seorang perwakilan Umno membidas pemimpin dan MP parti itu yang bertemu menteri untuk berbincang mengenai peruntukan.

Ketua Umno Bahagian Bukit Gelugor Omar Faudzar berkata tindakan itu seperti anak-anai boleh meruntuhkan parti.

"Kita tak mahu ada anai-anai dalam Umno, sebab anai-anai ini boleh meruntuh parti kita," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung parti 2019.

"Tujuh orang pergi jumpa lagi nak minta peruntukan, saya nak beri tahu 18 bulan baru kita jadi pembangkang.

"Berpuluh tahun PKR, PAS jadi pembangkang, mereka tak ada meminta peruntukan daripada Umno.

"Ini baru 18 bulan, kita main melompat lah, mana ada jati diri orang Umno, pemimpin Umno, tak ada," tegas Omar.

Ketua bahagian Umno itu juga berkata jika tiada wang, akar umbi parti akan sentiasa bersemangat untuk menghulurkan bantuan.

"Sebab nak minta duit, ahli bawah banyak lah....

"Di bawah semangat lebih tinggi dari di atas, kami buat (aktiviti) takde duit, sedih," katanya yang bersambut sorakan dan tepukan hadirin.

Pada ketika ini, Timbalan Speaker Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019, Rizuan Abd Hamid cuba menghentikan Omar dan berkata: "Okay Pulau Pinang, boleh... tapi mereka yang (dimaksudkan) itu ada dalam dewan ini."

Omar menjawab: "Betul, yang ada dalam dewan, betul. Saya nak bagi tahu speaker, kita duduk dalam dewan sebagai ahli, dalam satu persatuan, kita ada presiden, bila ada dalam persatuan, ada presiden, ikut cakap presiden, kalau tak mahu duduk, tak mahu dengar cakap presiden, jangan duduk dalam persatuan."

Mendegar ucapan itu, hadirin bersorak dan malah ada yang berdiri bertepuk tangan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kelihatan bercakap dengan speaker yang kemudiannya membenarkan Omar meneruskan ucapannya.

"Saya nak beri tahu, saya tegur bukan kerana apa, setiap penyakit, ubat yang paling (mujarab) adalah ubat paling pahit sekali," kata Omar.

Selanjutnya, Omar berkata kepada Zahid memaklumkan seolah-olah presiden takut untuk bersuara.

"Kadang-kadang saya tengok presiden nak jawab pun takut. Presiden tengok mereka orang yang berdiri, semua hendak keputusan daripada presiden.

"Kalau kita nak jadi seorang pemimpin kena tegas," katanya lagi.

Bulan lalu, bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dikatakan mengetuai 22 MP parti itu bertemu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga menteri hal ehwal ekonomi.

Spekulasi tersebar mengatakan Hishammuddin cuba membentuk kerajaan tanpa DAP dan Amanah.

Hishammuddin telah menafikan kewujudan plot sebegitu, manakala MP Umno berkenaan mendakwa pertemuan itu cuma mengenai perkara ekonomi dan peruntukan bagi kawasan parlimen mereka.

Zahid menyifatkan pemimpin Umno yang tidak setia sebagai "reptilia melompat", berkata tidak akan meletakkan mereka sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS