Seorang suspek yang dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mendakwa diugut akan dicederakan seperti yang pernah menimpa Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Bekas ahli PKR, A Kalaimughilan juga memberi keterangan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa dia diberitahu oleh polis bahawa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy ditahan dalam sel bersebelahan.
Itu antara penganiayaan bukan fizikal yang dialami Kalaimugilan ketika dia memberi keterangan berhubung layanan yang diterima ketika ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (Sosma) dan di Penjara Sungai Buloh.
Kalaimugilan memberi keterangan itu semasa pemeriksaan oleh hakim Azura Alwi hari ini atas aduan berkenaan.
Aduannya itu dibuat di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah, yang memberi kuasa kepada hakim memeriksa mana-mana aduan layanan buruk diterima tahanan.
Dia mengadu menerima layanan itu susulan penahanannya bagi membantu siasatan terhadap penglibatannya dengan kumpulan militan LTTE melalui pemilikan barangan yang dikaitkan dengan kumpulan yang sudah tidak aktif itu.
Kalaimughilan berkata ia berlaku semasa sesi soal siasat oleh empat pegawai polis, yang mana salah seorang daripada mereka hanya dinamakan sebagai "Tuan Anuar".
"Mereka beritahu saya bahawa mereka telah menahan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy dan mereka kata dia berada di sebelah bilik saya.
"Mereka juga beritahu saya bahawa mereka pernah menahan pemimpin sebuah parti politik di mana saya pernah menjadi ahli, iaitu Anwar Ibrahim.
"Mereka juga tanya "Adakah kamu masih ingat Datuk Seri (Anwar) yang "Lebam" dibelasah oleh pihak polis".
Katanya, anggota berkenaan juga berkata sekiranya dia tidak mahu isterinya atau bapanya ditahan atau menerima akibat seperti yang berlaku terhadap Anwar, maka dia perlu menulis apa yang diberitahu oleh pihak polis.
Kalaimughilan juga berkata dia ketakutan dan tertekan dengan dakwaan yang dibuat oleh pegawai-pegawai polis berkenaan.