Paling Popular
Terkini
story images
story images

KONGRES PKR | Perwakilan Pemuda PKR (AMK) yang hadir pada Kongres Nasionalnya hari ini diingatkan supaya tidak melupakan jasa naib presiden parti itu, Rafizi Ramli dalam menaikkan kedudukan parti berkenaan.

Ketuanya, Akmal Nasir berkata, kejayaan dikecapi mereka adalah berkat kegigihan dan keberanian Rafizi terutamanya dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa ketika pentadbiran BN.

Dalam ucapan penggulungannya Akmal mengimbau kenangan bersama Rafizi ketika pertama kali membongkarkan skandal Pusat Feedlot Nasional (NFC) sehingga akhirnya dihadapkan ke mahkamah.

Bagaimanapun Akmal berkata beliau difahamkan oleh Rafizi bahawa kes itu masih belum selesai dan akan dibawa ke mahkamah rayuan.

“Saudara Rafizi masih kena naik turun mahkamah sebab bongkarkan kes rasuah ini. Bagi saya perkara ini tak sepatutnya berlaku.

“Jangan lupa bahawa kita berada di sini hari ini bukan kerana apa pun (tapi) kerana banyak perkara yang kita sudah lalui," katanya.

Pada 15 Nov lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan sabitan terhadap Rafizi dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia).

Keputusan itu sekali gus mengenepikan dan membebaskan Rafizi serta Johari daripada hukuman penjara 30 bulan yang dijatuhkan pada Feb 2018.

Sementara itu Naib Ketua AMK Syed Badli Syah Syed Osman dalam ucapannya turut senada dengan pandangan ketuanya itu apabila mengingatkan perwakilan agar tidak melupakan jasa Rafizi sebelum parti itu menjadi sebahagian kerajaan.

“Saudara Rafizi ceruk mana beliau tak masuk, rantau mana beliau tidak pergi, tempat mana dia tidak berceramah.

“Kalau boleh saya sebutkan di atas pentas ini, saudara Rafizi yang paling banyak berceramah tapi mana beliau sekarang?” soalnya dalam ucapan penggulungnya.

Sebelum mengakhiri ucapannya Syed Badli turut mengingatkan rakan-rakannya yang kini memegang jawatan supaya menghargai mereka yang tidak mempunyai kedudukan serta memahami kesusahan dihadapi mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS