KONGRES PKR | Kongres Nasional Tahunan Pemuda PKR (AMK) di Melaka hari ini dicemari dengan pergaduhan antara perwakilan parti yang hadir dengan pemuda berbaju hitam yang dikatakan hadir sebagai "pemerhati".
Situasi tegang timbul sejak pukul lapan pagi lagi di hadapan pintu masuk dewan.
Beberapa perwakilan mendakwa tidak dibenarkan masuk sedangkan pemuda berbaju hitam yang tidak memiliki pas dikatakan dibenarkan masuk.
Sekitar tengah hari, pergaduhan tercetus sekali lagi di dalam bangunan MITC, tempat kongres berlangsung, sebelum melarat ke luar dewan.
Seorang anggota PKR berbaju seragam parti berwarna biru muda dilihat berdarah di hidung. Ada yang mendakwa kecederaan itu akibat ditumbuk, sementara dakwaan lain berkata ia akibat batu yang dilempar.
Sementara seorang pemuda tidak berbaju dilihat menekap luka di bahagian belakang kepalanya dengan baju T berwarna hitam.
Untuk rekod, dalam perhimpunan sesebuah parti, perwakilan perlu membawa pas kerana mereka akan terlibat dengan atur acara rasmi seperti pengundian sesuatu usul.
Sementara pemerhati, biasanya tidak perlu membawa pas kerana sekadar hadir untuk memerhati.
Beberapa pemuda berbaju hitam yang ditemu bual Malaysiakini tidak jelas dengan tujuan mereka menyertai perhimpunan berkenaan.
Salah seorang daripada mereka memaklumkan bahawa mereka datang dengan bas.
Ditanya tentang tujuan kehadirannya, Danial Iskandar, 21, sekadar berkata bahawa dia dimaklumkan ada program 'reformasi'.
Danial juga percaya dia akan dibayar selepas kongres tiga hari itu selesai.
Ketua AMK, Akmal Nasir yang bercakap pada sidang akhbar ketika pergaduhan itu terjadi berkata dia akan meneliti perkara itu dan tindakan akan diambil tanpa mengambil kira kem yang terlibat.
Ketua polis Melaka Mat Kasim Karim memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mempunyai pegawai di sekitar kawasan itu, termasuk pasukan antirusuhan yang ditempatkan di sebuah balai polis berhampiran.
Selepas solat Jumaat, pasukan antirusuhan berkenaan dilihat di kawasan berhampiran MITC.
"Kami ada pegawai termasuk yang tidak berpakaian seragam memantau keadaan," katanya.
Polis juga memaklumkan bahawa jawatankuasa penganjur kongres telah bersetuju sebelum ini untuk bertanggungjawab berhubung keselamatan di dalam tempat kongres berlangsung.
*Laporan tambahan oleh Annabelle Lee dan Hariz Mohd