Walaupun dilihat bergeser dengan Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali malam ini menyatakan pendiriannya untuk mempertahankan presiden parti itu yang dikaitkan dengan dakwaan mencabul dan berkelakuan tidak senonoh.
Bercakap kepada media di Melaka malam ini, Azmin berkata, sejak dari awal lagi pihaknya menolak amalan politik keji (gutter politics).
Justeru ahli parlimen Gombak itu menyambut baik langkah Anwar mengadukan dakwaan tersebut kepada polis agar siasatan lengkap dapat dijalankan.
"Anwar dah beri penjelasan awal hari ini. Saya sebagai timbalan presiden, kita mempertahankan beliau.
"(Sikap) kita, parti, dari awal memang menolak gutter politics, politik keji dan kotor," katanya.
Justeru dengan adanya laporan polis dibuat berhubung isu itu, kata Azmin, PKR menyerahkan hal itu kepada pihak berkuasa.
Anwar sekali lagi didakwa terbabit dalam perbuatan lucah pad 4 Dis lalu. Kali ini dibuat bekas penyelidik Anwar, Muhammad Yusoff Rawther, yang membuat dakwaan melalui akuan bersumpah bertarikh 19 Nov.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkansecara bebas kesahihan dokumen tersebut.
Setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, dalam maklum balasnya mendakwa akuan bersumpah yang dibuat Yusoff itu didalangi bekas anggota anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Badrul Hisham Saharin.
Ia dianggap sebagai usaha lemah "untuk mencemarkan imej parti oleh seorang bekas ahli yang meroyan kerana tidak diendahkan."
Sehari selepas dakwaan tersebut, keluarga Yusoff berkata pihaknya percaya lelaki terbabit dimanipulasi untuk membuat tuduhan berkenaan kerana mereka tidak dimaklumkan tentang insiden didakwa berlaku pada 23 Sept lalu.
Kata Azmin, amalan berpolitik secara keji tidak ada tempat dalam PKR walaupun ia membabitkan perselisihan pandangan.
"Kalau ada pihak yang tak bersetuju (dalam sesuatu isu) dia harus berdepan dengan hujah dan wacana yang sihat, bukan terjerumus dengan amalan fitnah dan keji seperti ini," katanya.