Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya 160 MP hantar borang isytihar harta
Diterbitkan:  Dec 5, 2019 6:27 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Hanya 160 anggota parlimen menyerahkan borang akuan perisytiharan harta mereka kepada Dewan Rakyat selepas tarikh akhir untuk berbuat demikian tamat hari ini, kata speaker Mohamad Ariff Mohd Yusof.

Dalam satu kenyataan kepada media lewat petang ini, Mohamad Ariff mengesahkan anggota parlimen pembangkang paling ramai tidak mengisytiharkan harta mereka iaitu seramai 62 orang.

Daripada jumlah itu, 38 anggota parlimen dari BN (termasuk 36 Umno dan masing-masing satu dari MCA dan MIC), 18 dari PAS, tiga dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), seorang dari Parti Reformasi Negeri (Star) di Sarawak dan dua anggota parlimen bebas.

Satu-satunya anggota parlimen MCA yang tidak menyerahkan borang itu ialah Wee Jeck Seng, yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, bulan lepas.

Menurut kenyataan itu, hanya tiga anggota parlimen BN dari Umno dan MCA telah mengemukakan borang mereka kepada Dewan Rakyat.

Semua 139 anggota parlimen dari Pakatan Harapan (PH) telah mengemukakan borang mereka kepada Mohamad Ariff.

Untuk makluman, semua anggota Dewan Rakyat diwajibkan mengisytiharkan harta mereka selepas parlimen meluluskan usul mengenai perkara itu melalui undian suara pada 1 Julai.

Usul itu diluluskan walaupun mendapat tentangan anggota parlimen pembangkang dengan alasan ia tidak mengikut undang-undang dan mengancam keselamatan anggota keluarga mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS