Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kerana kebaikan tak selalu dihargai, keburukan tak selalu dinistai'
Diterbitkan:  Dec 5, 2019 5:54 PM
Dikemaskini: Dec 9, 2019 8:45 AM

GLOBAL | Seorang peguam mendakwa penceramah terkenal Indonesia, Abdul Somad Batubara Bakhtiar melakukan pelbagai usaha bagi menyelematkan rumah tangganya sebelum membuat permohonan cerai di mahkamah.

Peguam kepada penceramah terbabit, Hassan Basri, berkata antara langkah yang dibuat sejak hampir empat tahun lalu adalah pelbagai namun sesuai dengan ajaran Islam.

Antaranya, kata peguam terbabit, ialah melalui nasihat, berpisah ranjang, musyawarah dan perundingan.

"Ia berakhir dengan tahap berpisah tempat tinggal pada Mei 2016 sehingga sekarang," katanya dalam satu kenyataan video semalam.

Abdul Somad - atau lebih dikenali dengan inisial UAS - bernikah dengan Mellya Juniarti pada 20 Okt 2012. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mizyan Hadziq Abdullah.

Menurut Hassan Basri walaupun tidak lagi tinggal sebumbung Abdul Somad, 42, tetap memperuntukkan waktu - di sebalik kesibukannya berdakwah - untuk melayani Mizyan Hadziq serta memberikan nafkah kepada Mellya, 29.

"Beliau tetap bertanggungjawab memberikan nafkah bulanan dan kemudian untuk Mellya serta anak mereka.

"UAS selalu menyediakan waktu khusus dalam kesibukan dakwahnya untuk tetap bersama, menemani, bermain, berjalan-jalan dan lain-lain, sesuai dengan sifat bapa yang selalu sayang serta mendidik anaknya," kata peguam terbabit.

Permohonan dibuat pada Julai

Disebabkan enggan membiarkan masalah rumah tangganya berlarutan serta terdedah kepada fitnah, Hassan Basri berkata, Abdul Somad memilih kaedah disarankan Islam iaitu apabila wujud pilihan di antara mafsadah (kerosakan) dan maslahah (faedah), maka yang perlu diutamakan ialah mencegah kemusnahan.

Menurut Hassan Basri lagi, perceraian bukanlah langkah ke belakang dan hal itu boleh berlaku kepada sesiapa saja, serta bersifat manusiawi.

"UAS sangat menyedari bahawa Allah Maha Berkuasa ke atas takdir manusia, dan Dia menguji hamba-Nya sesuai dengan kemampuan masing-masing.

"Setiap orang akan melihat sesuatu isu dan berfikir secara berbeza.

"Kebaikan tidak selalu dihargai, keburukan tak selalu dinistai. Aku tak perlu menjelaskan tentang diriku kerana musuhku tak percaya, dan sahabat-sahabatku tak perlukan itu," kata peguam terbabit memetik kata-kata disandarkannya kepada Sayidina Ali Abi Talib.

Peguam itu menjelaskan permohonan rasmi untuk menceraikan Mellya dikemukakan Abdul Somad ke Mahkamah Syariah Bangkinang, Pekanbaru, Riau pada 12 Julai lalu dan keputusan mengenainya dibuat hakim pada 3 Dis.

"Dengan itu pengadilan agama memberi izin kepada permohonan UAS menjatuhkan talak satu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS