Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan dalam fasa perhalusi sistem, perisian e-tunai

Kerajaan sedang dalam fasa menguji dan memperhalusi sistem dan perisian e-tunai rakyat bersama pekhidmat e-dompet (e-wallet) dan agensi kerajaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata usaha itu selaras dengan garis masa yang ditetapkan dalam pelan projek itu bagi melaksanakannya pada Januari depan.

“Pelaksanaan inisiatif ini adalah di bawah penyeliaan Khazanah Nasional Bhd yang telah memperincikan sesuatu pelan projek. Khazanah Nasional Bhd juga akan umumkan pekhidmat e-wallet yang terlibat kelak.

“Kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM450 juta kepada Khazanah Nasional yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia,” katanya semasa Waktu-waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lim menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai status pelaksanaan pemberian RM30 kepada rakyat Malaysia menerusi perkhidmatan e-dompet yang akan bermula pada 1 Jan depan dan syarikat serta perkhidmatan e-dompet yang telah terpilih untuk melaksanakan pemberian itu.

Lim Guan Eng

Lim berkata sekiranya peruntukan sebanyak RM450 juta itu digunakan sepenuhnya dan berjaya merangsang perbelanjaan, kementerian bersedia mempertimbang peruntukan tambahan.

“Sambutan baik juga akan membolehkan inisiatif ini diulang dengan menyasarkan lebih ramai pengguna, pedagang, dan pekhidmat e-dompet.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada RM50.3 bilion yang disediakan oleh kerajaan bagi tempoh lima tahun untuk mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan, antaranya peralihan kepada ekonomi digital,” katanya.

Lim berkata dengan peruntukan RM450 juta untuk inisiatif itu, kerajaan berhasrat menggalakkan budaya digital dan beralih kepada masyarakat tanpa tunai.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS