Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan akan pinda akta perhutanan, naikkan hukuman penjara

Akta Perhutanan Negara 1984 akan dipinda bertujuan mempertingkat penguatkuasaan terhadap pengambilan hasil hutan secara haram, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar.

Akta itu katanya dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat hujung tahun depan.

“Akta ini akan diperketat dengan denda lebih tinggi berbanding sekarang. Sebab itu kami akan tambah baik akta ini selepas buat libat urus dengan kerajaan negeri.

“Kali terakhir dipinda adalah pada 1993,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-76 di bangunan parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat hampir dua jam itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri menteri-menteri besar dan ketua menteri.

Mengulas lanjut, Xavier berkata pindaan akta itu akan melibatkan Seksyen 15 iaitu meningkatkan denda daripada maksimum RM500,000 kepada RM5 juta dan penjara daripada tidak kurang setahun dan tidak melebihi 20 tahun kepada tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Seksyen itu memperuntukkan denda kepada mereka yang mengambil hasil hutan daripada hutan simpanan kekal atau tanah kerajaan tanpa lesen yang sah.

Katanya lagi, Seksyen 47 yang melibatkan kesalahan memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa, juga akan dipinda dengan menaikkan denda kepada RM30,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali berbanding sekarang iaitu denda RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali.

“Pindaan ini bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan bergerak seiring perkembangan semasa mencakupi aspek pencegahan pengambilan hasil hutan secara haram, menambah baik serta memantapkan pengurusan kawasan hutan simpanan kekal,” kata Xavier.

Sehingga kini, Malaysia mempunyai 55.3 peratus atau 18.2 juta hektar tanah diliputi dengan hutan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS