Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan peguam tak senang dengan hukuman ponteng solat Jumaat
Diterbitkan:  Dec 4, 2019 3:06 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap hukuman dikenakan terhadap sekumpulan lelaki di Terengganu kerana ponteng solat Jumaat.

Penyelaras undang-undang LFL Zaid Malek berkata hukuman denda lebih RM2,000 dan sebulan penjara terhadap enam lelaki itu berlebih-lebihan.

“Sudah tiba masanya rasional hukuman penjara dan denda terhadap pihak yang ponteng solat Jumaat dan kesalahan seumpamanya dipertimbangkang semula.

“Walaupun tindakan itu dianggap tidak sesuai oleh sesetengah pihak dalam masyarakat Muslim, hukuman jenayah adalah berlebih-lebihan dan bukan cara untuk menanganinya,” kata Zaid.

Pada 1 Disember laku, Mahkamah Syariah Hulu Terengganu, Kuala Berang mengarahkan enam lelaki dipenjara sebulan dan didenda selepas mengaku bersalah meninggalkan solat Jumaat.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah dengan berkelah di Air Terjun Sekayu antara jam 1 hingga 1.50 petang pada 23 Ogos lalu.

Seorang tertuduh didenda RM2,500 manakala lima lagi didenda RM2,400.

Kesemua mereka dicekup ketika operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menggunakan pemantauan anggota wanita terlebih dahulu.

Penguat kuasa lelaki melakukan serbuan sebaik selesai solat Jumaat.

Dalam kenyataan hari ini, Zaid berkata Islam adalah sebuah agama kasih sayang, adil, belah ihsan dan sederhana.

“Dengan semangat prinsip Islam ini, kami gesa menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam meneliti perkara ini dan menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya.

Zaid juga berkata apa yang berlaku di Terengganu itu bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof bahawa kerajaan sedang menyemak semula sistem perundangan bagi menjadikan hukuman bersifat memulihkan dari menghukum.

“Dakwaan gagal hadir solat Jumaat ialah perkara peribadi yang negara tidak patut campur tangan atau tadbir,” kata Zaid lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS