Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Projek biogas Felcra: SPRM akan soal Bung Mokhtar

SPRM akan menyoal bekas pengerusi Felcra, Bung Moktar Radin dalam siasatan suruhanjaya antirasuah itu terhadap projek biogas oleh syarikat milik penuh kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengesahkan siasatan berkenaan dijangka selesai tahun depan.

"Siasatan masih berjalan, harap dapat selesai pada awal tahun depan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya jika Bung akan dipanggil untuk disoal, Latheefa berkata "ya" tetapi enggan memaklumkan tarikh itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Mohd Nazrul Izam Mansor, yang dilantik selepas PH membentuk kerajaan, mendedahkan semalam bahawa pengurusan baru syarikat itu telah melaporkan projek biogas kepada SPRM pada tahun lepas selepas menjalankan audit pengurusan.

Sejak itu, Nazrul menjelaskan seramai 13 individu telah diambil keterangan oleh SPRM dan sejumlah dokumen juga telah dirampas.

Felcra Bhd telah memeterai perjanjian dengan Megagreen Energy Sdn Bhd pada Disember 2014.

Menurut perjanjian itu, Megagreen akan memajak tanah milik Felcra untuk "membangun, membiayai, membina, memiliki, mengendali dan menguruskan secara terus" lima loji biogas.

Bekas pengerusi Felcra Bung Moktar Radin juga menjadi salah seorang pengarah Megagreen ketika perjanjian itu dimeterai. Bagaimanapun, Bung telah letak jawatan daripada Megagreen selepas BN kalah PRU14 pada 9 Mei tahun lalu.

Menurut perjanjian, loji enam megawatt akan dibina di lokasi kilang minyak sawit Felcra di Bukit Kepong (Johor), Sungai Melikai (Johor), Nasaruddin (Perak), Seberang Perak (Perak) dan Maran (Pahang) milik Felcra.

Selepas lima tahun perjanjian dimeterai, sejumlah peserta Felcra membangkitkan persoalan berhubung projek biogas itu walaupun rekod syarikat menunjukkan Megagreen telah menerima RM35.25 juta pinjaman daripada RHB Islamic Bank Bhd pada Jun 2015.

Pinjaman itu belum habis dibayar setakat Oktober 2019. Sementara itu projek biogas itu tidak siap dan tidak beroperasi.

Mereka terutamanya ingin tahun mengapa tiada tindakan diambil walapun hanya sedikit kerja yang dibuat selepas lima tahun dana untuk projek itu diberikan.

Ketika melawat dua tapak loji biogas Felcra di Perak pada Oktober 2019, Malaysiakini mendapati projek di kedua-dua lokasi tidak beroperasi.

Di Nasaruddin, papan tanda projek menunjukkan loji itu sepatutnya siap pada Mei 2016.

Sementara itu di tapak Seberang Perak, pembinaan loji biogas tampak lebih lengkap tetapi seperti juga di Nasaruddin, loji ini juga tiada papan tanda dengan kawasan yang tidak terjaga.

CEO baru Felcra, Nazrul turut menjelaskan tiada wang Felcra atau pesertanya yang digunakan untuk membiayai projek biogas itu kerana ia dibiayai melalui pinjaman RHB dan ekuiti.

Projek ini sekarang diterajui oleh syarikat minyak dan gas yang tersenarai di bursa saham, Serba Dinamik Holdings Bhd dan Felcra menyasarkan dua kilang biogas di Perak akan siap pada suku pertama tahun 2020.

Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette kini dalam perbicaraan untuk tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, termasuk dakwaan menerima suapan RM2.2 juta sebagai pertukaran untuk Felcra membuat pelaburan dalam unit amanah Public Mutual.

Felcra, atau Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan, dikorporatkan pada 1997 selepas beroperasi sebagai badan berkanun selama 31 tahun.

Objektif utamanya ialah untuk mengeluarkan 112,454 pesertanya daripada belenggu kemiskinan dengan memulih dan menyatukan tanah terbiar untuk tanaman kelapa sawit, getah dan padi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS