Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Felcra: Loji biogas di Perak sedang dibina, dijangka siap suku pertama 2020

Kerja pembinan dua logi biogas miliknya di Perak sedang berjalan dan dijangka siap pada suku pertama tahun depan, kata Felcra Bhd.

CEO Felcra Nazrul Mohd Izam Mansor berkata, tiada dana kerajaan atau peserta Felcra yang digunakan untuk projek itu.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Felcra pada 2014 melantik Megagreen Energy Sdn Bhd untuk membina lima loji biogas, namun kunjungan Malaysiakini ke dua loji di Perak mendapati kedua-duanya tidak beroperasi.

Ketika ditemui di sebuah program di Kuala Lumpur hari ini, Nazrul menjelaskan projek itu kini dijalankan oleh Serba Dinamik Holdings Bhd, sebuah syarikat minyak dan gas yang disenarai di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, Serba Dinamik mengambil alih projek itu selepas Megagreen "berdepan masalah" pada 2016 dan menghentikan projek biogas.

“Sekarang (kami memantau perkara ini) dengan sangat dekat […] ini sebahagian daripada langkah pemulihan dan transformasi yang sedang kami laksanakan untuk memastikan semua yang kami lakukan adalah bersih dan jujur (above board).

“Dan kini Serba Dinamik, sebagai syarikat minyak dan gas yang profesional, mereka ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi. Kami sering mengadakan mesyuarat dengan mereka berkenaan (projek biogas) ini,” katanya.

Nazrul dilantik sebagai CEO pada Oktober 2018 sebagai sebahagian daripada pengurusan baru Felcra di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tahun lalu Serba Dinamik dilaporkan membeli 25 peratus pegangan dalam kontraktor turnkey loji biogas, iaitu Green & Smart Sdn Bhd.

Nazrul Mohd Izam Mansor

Setakat ini, Nazrul menganggarkan loji biogas di Nasaruddin dan Seberang Perak di Perak sebagai "95 peratus" siap manakala loji di Sungai Melikai, Johor "40 peratus" siap.

“Kini (loji di Perak) sudah mencapai 95 peratus, kami anggarkan (siap sepenuhnya) mungkin suku tahun pertama tahun depan […] loji ketiga di Sungai Melikai juga perlu disiapkan.

“Kami telah menerima surat pernyataan komitmen dari Serba Dinamik untuk mereka siapkan dua lagi loji - di Maran (Pahang) dan Bukit Kepong (Johor),” katanya lagi.

Tinjauan Malaysiakini di loji Nasaruddin pada Oktober 2019 mendapati peralatan utama hilang dan tapak tidak dijaga, manakala loji di Seberang Perak kelihatan agak lengkap namun terabai dan tidak dikawal. Kedua-duanya tidak beroperasi.

Tidak guna wang Felcra

Peserta Felcra sebelum ini mempersoalkan pergerakan projek itu yang perlahan walaupun rekod syarikat menunjukkan pinjaman RHB Islamic Bank Bhd berjumlah RM35.25 juta telah diserahkan kepada Megagreen pada Jun 2015.


BacaPeserta tuntut jawapan projek loji biogas RM35 juta Felcra terbiar


Hari ini, Nazrul menekankan bahawa Megagreen bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembayaran balik pinjaman tersebut.

"Tiada wang milik peserta atau Felcra disuntik ke dalam projek itu.

“[…] sebab pembayaran balik perlu datang daripada syarikat yang mengambil pinjaman. Sebagai pemegang saham (Megagreen), kami tidak bertanggungjawab untuk membayarnya," katanya lagi.

Mega Hijau Makmur Sdn Bhd adalah pemegang saham majoriti dalam Megagreen dengan 70 peratus, manakala Felcra dan Green & Smart masing-masing memegang 15 peratus.

“Kami tidak tahu siapa mereka ini,” kata Nazrul berkenaan Mega Hijau Makmur.

Beliau juga menjelaskan bahawa anggaran jumlah kos untuk lima loji biogas adalah RM73 juta - dengan RM35.25 juta dibiayai melalui pinjaman RHB dan baki RM37.75 juta melalui pembiayaan ekuiti.

Projek biogas dilaporkan ke SPRM

Satu lagi perkara yang menjadi kebimbangan peserta Felcra berkenaan projek biogas adalah kemungkinan wujud konflik kepentingan melibatkan Bung Moktar Radin.

Anggota parlimen Kinabatangan itu adalah pengerusi Felcra dan pengarah di Megagreen ketika perjanjian biogas itu ditandatangani. Dia melepaskan kedua-dua jawatan itu setelah BN kalah dalam PRU ke-14.

Hari ini, Nazrul mengesahkan bahawa Felcra di bawah pengurusan baru sudah melaporkan projek biogas itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Apabila pengurusan baru dilantik hujung tahun lalu, perkara pertama yang kami lakukan adalah audit pengurusan untuk mengenal pasti kemungkinan salah laku.

“Kami telah buat senarai dan ketua audit dalaman kami (telah) membuat laporan kepada SPRM mengenai perkara ini, jadi perkara itu dalam siasatan SPRM,” katanya.

Sejak itu, Nazrul menjelaskan seramai 13 individu telah diambil keterangan oleh SPRM dan sejumlah dokumen juga telah dirampas.

Malaysiakini sedang menghubungi SPRM bagi mendapatkan komen lebih lanjut berkenaan perkara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS