Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Singapura lancar Projek Wolbachia untuk basmi denggi

Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura pada 2 Dis melancarkan fasiliti baharu bagi pembiakan jutaan nyamuk jantan dalam masa seminggu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Langkah itu diambil berikutan peningkatan kes denggi di Singapura tahun ini, dengan hampir 15,000 kes dan 20 kematian dilaporkan.

Fasiliti baharu itu membolehkan NEA menerusi Projek Wolbachia membiak sehingga lima juta nyamuk jantan seminggu. Projek ini melibatkan pembebasan nyamuk Wolbachia-Aedes aegypti jantan untuk menyekat pembiakan nyamuk di kawasan bandar, yang merupakan vektor utama denggi, chikungunya dan Zika di sini.

Apabila nyamuk Wolbachia-Aedes aegypti jantan dilepaskan dengan nyamuk Aedes aegypti betina, telur tidak akan menetas.

NEA berkata dari masa ke masa, dengan membebaskan nyamuk Wolbachia-Aedes aegypti jantan ia dijangka membawa pengurangan secara beransur-ansur dalam populasi nyamuk Aedes aegypti dan seterusnya mengurangkan risiko penularan demam denggi.

Bercakap pada pelancaran fasiliti baharu itu, Menteri Kanan Alam Sekitar dan Sumber Air Amy Khor berkata situasi denggi dijangka bertambah buruk dalam beberapa dekad akan datang berikutan pemanasan global.

Suhu yang lebih tinggi menyebabkan nyamuk membiak lebih cepat dan pada masa sama menyebabkan virus denggi menular dengan pantas, katanya.


-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS