Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cek bayar kad kredit Maybank tak ditandatangan Zahid - Peguam

Enam cek yang digunakan untuk membuat pembayaran kad-kad kredit milik Ahmad Zahid Hamidi, tidak ditandatangani oleh bekas timbalan perdana menteri itu sendiri.

Sebaliknya, tandatangan pada cek kepada Maybank tersebut dibuat menggunakan cap tandatangan tanpa pengetahuan Ahmad Zahid.

Perkara itu didedahkan peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik dalam sesi pemeriksaan balas ke atas keterangan saksi kesembilan, G S Anoop Singh yang merupakan Naib Presiden (ketua pengurusan penipuan dan pertikaian), Malayan Banking Berhad (Maybank).

Anoop merupakan saksi kesembilan pendakwaan dalam kes perbicaraan pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi yang masuk hari kelima.

Perbicaraan itu dilakukan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Dalam sesi itu, Hisyam merujuk satu laporan oleh Jabatan Kimia Malaysia bertarikh 28 Februari 2019 yang menyatakan bahawa daripada semua cek yang dihantar ke jabatan tersebut untuk dinilai, sebanyak 32 cek didapati bukan dihasilkan menggunakan tulisan tangan.

Itu termasuklah enam cek yang dikemukakan Anoop dalam pernyataan bertulisnya sebelum ini.

“Tandatangan-tandatangan dalam persoalan ini menunjukkan karakteristik yang sama dengan bekas hasil cap. Oleh itu, saya berpendapat bahawa tandatangan-tandatangan berkaitan dihasilkan menggunakan cap,” kata laporan yang disediakan oleh jurukimia itu.

Kata laporan itu lagi, kesemua 32 cek tersebut sepadan antara satu sama lain dari segi saiz, penjajaran (alignment) dan jarak yang menunjukkan tanda ia dihasilkan menggunakan cap yang sama.

“Saya tak dapat menyimpulkan siapakah penulis (penghasil) tandatangan-tandatangan berkaitan”, kata laporan itu lagi.

Dalam perbicaraan hari keempat pada 21 November lalu, Anoop membentangkan rekod penggunaan dua kad kredit dan satu kad caj milik Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sejumlah RM47,762.02 penggunaan kad dicatatkan, manakala sejumlah RM65,321.83 pembayaran dibuat kepada Pusat Kad Maybank antara Februari 2014 hingga Julai 2015 untuk membayar kad-kad milik Ahmad Zahid tersebut, melalui sembilan cek.

Daripada sembilan cek tersebut, satu dipulangkan semula kepada pembayar.

Sebelum itu, Hisyam telah meminta Anoop mengesahkan bahawa enam daripada sembilan cek dikemukakan dalam keterangan bertulisnya adalah “termasuk” dalam senarai cek yang disebut dalam laporan Jabatan Kimia sebagai “bukan dihasilkan melalui tulisan tangan”.

Hisyam: Berdasarkan laporan ini, cek-cek yang anda sebut ini bukan hasil tandatangan.

Anoop: Begitulah nampaknya.

Selain itu, Hisyam turut mencadangkan kepada Anoop bahawa bukan Ahmad Zahid yang mengecap tandatangan itu dalam enam cek berkenaan.

Hisyam: Daripada dokumen (laporan) ini, saya cadangkan bahawa pemegang kad kamu, Ahmad Zahid tidak cap keenam-enam cek (untuk) membuat bayaran kepada kamu (bank). Kamu tahu atau tak tahu?

Anoop: Saya tak tahu.

Hisyam: Saya juga cadangkan, bahawa keenam-enam cek ini dicap oleh pembantu peribadinya ketika itu, yang bernama Mejar Mazlina. Kamu tahu atau tak tahu?

Anoop: Saya tak tahu.

Hisyam: Saya cadangkan kepada kamu, pada masa keenam-enam cek ini dicap, pemegang kad kamu (Ahmad Zahid) tidak ada pengetahuan bahwa keenam-enam cek ini dicap oleh pembantu peribadinya. Kamu tahu atau tak tahu?

Anoop: Saya tak tahu.

Malah, Hisyam turut mencadangkan satu cek yang dipulangkan Maybank kerana tidak mempunyai tandatangan itu, turut diuruskan oleh Mejar Mazlina.

Hisyam: Saya cadangkan kepada kamu yang Mejar Mazlina yang buat (urusan) pembayaran cek (yang dipulangkan semula), walaupun tidak ditandatangani. Kamu tahu atau tak tahu?

Anoop: Saya tak tahu.

Perbicaraan bersambung 2.30 petang. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS