Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ekspo tatu separuh bogel: Menteri arah siasat penganjur
Diterbitkan:  Dec 2, 2019 11:23 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi mengarahkan kementeriannya menyiasat penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019, susulan peragaan separuh bogel pada acara tersebut.

"Ekspo ini bukanlah kali pertama diadakan di Malaysia dan semenjak ia mula diadakan pada 2015 seperti di Kota Kinabalu, Sabah, tiada kejadian seumpama berlaku dan dipamer ke khalayak ramai.

“Saya difahamkan ia diadakan secara tertutup tetapi ia telah melanggar ketatasusilaan. Saya telah mengarahkan agensi MOTAC, Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCeB) untuk menyiasat perkara ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan tular beberapa gambar peragaan separuh bogel dalam ekspo tersebut di media sosial sejak semalam.

Ekspo berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 November, disertai peserta dari 35 negara.

Di pentas ekspo itu turut dipaparkan bahawa acara itu disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Mohamaddin bagaimanapun menegaskan kementeriannya tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan bagi penganjuran ekspo berkenaan.

"Adalah satu yang mustahil bagi kementerian untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen-elemen lucah seperti itu sebab itu bukan budaya Malaysia, lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.

"Kita akan menanti laporan penuh siasatan dari MyCeB dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar syarat yang telah ditetapkan," katanya.

Tambahnya, penganjuran acara bertaraf antarabangsa adalah baik untuk industri pelancongan negara tetapi bukan dengan cara penganjuran yang tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan.

MyCeb juga dalam kenyataan awal menyebut sebarang kelulusan untuk acara itu diadakan di mana-mana negeri perlu melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS