Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

LAPORAN KHAS | Walaupun kerajaan sudah membelanjakan berbilion ringgit, sistem perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) di sekitar Lembah Klang kelihatan lemah kerana sebahagian infrastruktur tersebut dilihat tidak dapat berfungsi dengan cukup baik.

Kelemahan itu antara lain dapat dilihat pada perkhidmatan bas perantara MRT.

Pemerhatian Malaysiakini berdasarkan data yang dikumpul dari pengguna berhubung masa menunggu bas mendapati bahawa masa ketibaan dan pelepasan bas perantara agak tidak teratur sehingga ada pengguna yang terpaksa menunggu sehingga 34 minit.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan jadual bas yang dipaparkan untuk orang awam.

Bagaimanapun, kebanyakan responden yang mencatat masa menunggu untuk tujuan penerbitan artikel ini memberitahu bahawa mereka dapat memasukkan waktu menunggu itu dalam jadual harian mereka untuk membuat anggaran masa perjalanan.

Bas perantara MRT merupakan perkhidmatan awam yang dikendalikan oleh syarikat pengangkutan awam Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Kuala Lumpur atau RapidKL.

Ia berperanan untuk menghubungkan pengguna MRT ke stesen-stesen tertentu atau ke destinasi terakhir mereka.

Melalui panggilan yang dibuat di media sosial, Malaysiakini berhubung dengan 13 pengguna bas perantara MRT.

Kesemua responden ini secara sukarela bersetuju untuk merekodkan masa mereka tiba dan bertolak dari perhentian bas atau stesen MRT.

Dalam masa dua minggu pada hari bekerja, data yang dicatatkan pengguna kemudiannya dikumpulkan dan sejumlah 86 perjalanan berjaya direkodkan daripada responden.

Kalau terlepas bas, nasiblah

Menurut laman sesawang RapidKL, bus perantara MRT beroperasi dalam sela masa 10 hingga 15 minit.

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini, purata masa menunggu bagi responden adalah selama 12 minit - iaitu berada dalam jangka masa yang dijanjikan oleh RapidKL.

Malah, berdasarkan 70 peratus perjalanan bas yang telah dianalisis, masa menunggu responden untuk bas perantara adalah kurang daripada 15 minit.

Kebanyakannya menunggu selama lima minit ataupun kurang.

 

Bagaimanapun, pemerhatian lanjut yang dilakukan mendedahkan wujudnya perbezaan masa yang sangat besar untuk setiap bas malahan untuk bas yang sama di hari yang berbeza.

Contohnya, ketika seorang pengguna bas perantara menunggu selama 34 minit di stesen MRT, seorang lagi pengguna lain tidak perlu untuk menunggu masa lebih lama. Yang menjadikan ia ibarat berjudi dengan nasib.

Walaupun masa menunggu yang paling lama direkodkan bukan ketika waktu puncak, terdapat perbezaan yang ketara direkodkan untuk bas yang sama ketika waktu puncak sebelah malam dari hari ke hari.

Contohnya, seorang pengguna melaporkan bas bernombor T801 dari MRT Kwasa Sentral berlepas pada jam 7.43 malam, namun pada hari berikutnya, dia terpaksa menunggu hingga jam 7.59 malam untuk bas tersebut bertolak, yang menunjukkan, terdapat tambahan masa menunggu selama 16 minit.

Dengan tiadanya jadual bas yang dipaparkan serta pelbagai permasalahan lain yang sering timbul, pengguna perlu tiba 30 minit lebih awal di perhentian bas sebagai persediaan sekiranya bas yang dijangka tidak tiba.

Masa menunggu yang paling lama direkodkan pada waktu puncak sebelah pagi adalah 28 minit ketika bas perantara bertolak dari MRT Phileo Damansara iaitu pada jam 7.51 pagi, manakala pada waktu puncak sebelah malam pula adalah 25 minit.

Menurut laman sesawang RapidKL, waktu puncak sebelah pagi adalah sekitar jam 6 hingga 9 pagi manakala pada waktu puncak sebelah malam pula bermula pada jam 5 petang hingga jam 8 malam.

Ketika dihubungi, MRT Corp meminta Malaysiakini merujuk kepada RapidKL, yang mengendalikan bas perantara MRT, namun, RapidKL belum menjawab pertanyaan kami sehingga kini.

Masa menunggu lebih lama ketika hujan

Menurut wartawan pelatih, Amirah Hazuanie, 24, yang menaiki bas perantara dari MRT Bandar Utama ke kawasan kediamannya, dia sekadar mengagak jadual dan tempoh perjalanan bas yang dinaikinya.

Katanya, dia akan mengambil masa antara 5 hingga 10 minit untuk sampai bermula dari kawasan kediaman ke destinasi terakhir atau sebaliknya. Namun ia masih tidak boleh dijangka.

“Saya kadang-kadang terlepas bas atau kita ingat bas sudah ada tapi sebenarnya tak ada. Kalau bas datang lambat jadi kita terpaksa tunggulah. Lagi senang kalau kamu (pengguna) tahu jadual bas,” katanya.

Pada masa yang sama, keadaan cuaca juga memainkan peranan.

Menurut pelajar kolej swasta, Aisyah Hanim, 19, pada waktu hujan masa menunggu akan menjadi lebih lama disebabkan bas perantara terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, banjir dan sebagainya.

Pengguna bas perantara MRT, Aisyah Hanim Mohammad Salleh berkata bas akan menjadi lewat ketika hujan.

“Sangat susah bila terpaksa bergantung kepada pengangkutan awam (ketika cuaca kita tidak menentu) sebab jadual bas mungkin berubah-ubah, masa dan jadual bas sudah tidak boleh diikuti disebabkan keadaan trafik yang sesak dan sebagainya.

“Jika cuaca baik, perkhidmatan bas perantara MRT akan seperti biasa,” katanya yang menaiki bas perantara MRT dari MRT Mutiara Damansara ke Pusat Beli Belah Perdana pada setiap hari kuliah.

Pada masa sama, Aisyah berkata, masa menunggu boleh sehingga 45 minit terutamanya pada waktu bukan puncak.

Dua kali ganda lebih lama pada hujung minggu

Pada waktu bukan puncak sebelah pagi, purata masa menunggu bagi setiap pengguna adalah sekitar sembilan minit manakala pada waktu bukan puncak sebelah malam pula adalah 18 minit.

Terdapat responden yang mengakui dapat menerima keadaan itu meskipun terpaksa menunggu bagi tempoh yang lama.

Menurut pengguna Charles Lopez, 24, yang menaiki bas dari MRT Mutiara Damansara ke Publika pada setiap hari bekerja,  masa menunggu adalah 17 minit.

Namun, berdasarkan data yang dikumpul, dia pernah menunggu selama 29 minit untuk ke rumahnya.

Dia biasanya akan menaiki bas untuk ke tempat kerja pada jam 8.30 pagi bagi memastikan dia sampai di pejabat pada jam 9 pagi. Namun situasi tidak sentiasa seperti itu.

Charles bagaimanapun berkata dia masih boleh menerima keadaan itu.

“Masanya agak tepat, cuma kadang-kadang, ada ketikanya bila saya berada di sini pada jam 8.30 pagi, tetapi, saya tidak jumpa bas yang bergerak pada masa tersebut, jadi saya perlu tunggu bas yang seterusnya,” katanya yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat swasta.

Tambahnya lagi, dia boleh mengharapkan perkhidmatan bas perantara untuk berjalan dengan baik pada hari bekerja namun terpaksa bersedia untuk menunggu dua kali lebih lama dari kebiasaan jika menggunakannya pada hujung minggu.

Pengguna bas perantara MRT, Hazman Naim Adnan tidak pasti sama ada bas lewat disebabkan kesesakan lalu lintas atau sikap pemandu bas.

 Seorang lagi pengguna yang menaiki bas dari MRT Sungai Buloh ke kediamannya, Hazman Naim Adnan, 24, sependapat dengan Lopez.

“Biasanya, anda hanya perlu menunggu antara 5 hingga 10 minit. Tapi bila waktu bukan puncak antara jam 8 hingga 10 malam atau pada waktu pagi hujung minggu, perlu tunggu sedikit lama.

"Jika tertinggal bas, kena tunggu hingga 30 minit,” katanya.

Hazman juga tertanya-tanya jika bas hanya akan bergerak mengikut kehendak pemandu itu sendiri.

Katanya, dia pernah menunggu di perhentian bas selama 20 minit sebelum bas berlepas, namun pada keesokannya, bas yang sama berlepas dalam masa 10 minit walaupun bas tersebut melalui laluan dan masa yang sama.

Komuniti berpagar punca kelewatan bas

Pertubuhan Untuk Penambahbaikan Pengangkutan Awam (Transit) percaya bahawa ketidakseragaman masa itu mempunyai kaitan dengan sikap pemandu bas itu sendiri.

Seorang ahli Transit, Cheong Sze Hoong, 41, berkata, pemandu bas mungkin beranggapan bahawa jika seseorang tergesa-gesa, dia mungkin menggunakan teksi atau perkhidmatan pandu seru (e-hailing) daripada menggunakan bas perantara MRT.

“Bas juga lambat sampai sebab ada pemandu bas yang berhenti di tepi jalan, restoran atau stesen minyak ketika bersama-sama pengguna untuk membeli minuman,” katanya.

Katanya, selagi isu pengangkutan awam tidak dapat diselesaikan, orang ramai terpaksa menggunakan pengangkutan sendiri.

Tambahnya, ia juga tidak terhad kepada memastikan bas perantara mematuhi jadual yang ditetapkan.

Infrastruktur di sekitar stesen kereta api termasuk stesen MRT juga dilihat tidak mesra pejalan kaki dan penunggang basikal manakala pertambahan komuniti berpagar seperti kondominium dan pangsapuri turut menjadi cabaran buat bas perantara beroperasi di sekitar kawasan perumahan.

“Laluan pejalan kaki dan stesen di kawasan perumahan di kawasan berdekatan (selalunya) dipisahkan dengan jalan raya, tebing, dan pagar. Laluan ke arah LRT (dan MRT) hampir tidak ada.

"Bas perlu melalui jalan 'zig-zag' yang merentasi kawasan perumahan yang berbeza. Ada antaranya yang berpagar dan tidak boleh dilalui antara satu sama lain.

"Dan bagi memastikan mereka (pemandu bas) dapat mengambil seramai mungkin penumpang, mereka terpaksa melalui jalan ini sekaligus membuatkan mereka terperangkap dalam kesesakan dan membazirkan masa menunggu penumpang yang lain," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS