Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ronnie Liu puji pendirian Mahathir isu abu mayat Chin Peng

Pemimpin DAP Ronnie Liu yang baru-baru ini menjadi tumpuan susulan kritikannya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, memuji pendirian pengerusi PH itu berhubung isu abu mayat pemimpin komunis Chin Peng.

Pada satu majlis di Kajang bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai (1989) hari ini, Liu berkata pendirian Mahathir patut dipuji.

"Walaupun saya suka mengkritik Mahathir, saya fikir dia melakukan perkara yang betul mengenai perkara ini (isu abu mayat Chin Peng)," katanya di hadapan kira-kira 300 hadirin.

Ahli jawatankuasa pusat DAP itu juga memuji bekas ketua Polis Negara Abdul Rahim Noor dan penasihat media Mahathir, Abdul Kadir Jasin atas pandangan mereka mengenai isu itu.

Meskipun ramai penceramah lain pada program itu, Liu adalah satu-satunya yang menyentuh isu abu mayat Chin Peng.

Pada sidang media Khamis lalu, Mahathir berkata bahawa pemimpin Parti Komunis Malaya yang lain telah dibenarkan pulang ke Malaysia tanpa kekecohan susulan perjanjian damai yang dicapai.

Justeru, Mahathir mempersoalkan motif pihak yang memainkan isu abu mayat Chin Peng.

Pada pertemuan bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) semalam, Mahathir berkata isu seperti abu mayat Chin Peng bukan penentu nasib orang Islam di Malaysia.

Pada 28 Nov lalu, Abdul Rahim mempertahankan tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng dengan mengatakan pemimpin komunis itu bukan lagi menjadi suatu ancaman.

Abdul Rahim terlibat secara langsung dalam perjanjian damai ketika itu merupakan ketua polis Cawangan Khas.

Sementara Abdul Kadir menyokong kenyataan Rahim Noor dalam catatan di blognya yang diterbitkan pada hari Jumaat, dengan mengatakan bahawa pihak yang memainkan isu itu perlu membaca sejarah Perjanjian Hatyai.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, merupakan setiausaha agung Parti Komunis Malaya sehingga parti itu mengakhiri perjuangan bersenjata pada 1989.

Chin Peng meninggal dunia di Thailand pada 2013.

Selepas enam tahun kematiannya, kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng membawa pulang abu mayat pemimpin komunis itu dari Thailand dua bulan lalu dan ditabur ke laut dan gunung di tanah kelahirannya di hutan di sekitar Gunung Titiwangsa dan laut berhampiran Lumut, Perak.

Perkembangan itu menimbulkan kemarahan beberapa pihak apabila ia didedahkan pada 26 Nov lalu.

Beberapa pegawai kerajaan mengatakan bahawa kerajaan tidak menyedari perkembangan ini dan polis menyiasat pihak yang terlibat membawa abu mayat itu pulang.

Liu sebelum ini menjadi tumpuan selepas mengkritik kepimpinan Mahathir dalam artikelnya 'Mahathir: The Paper Tiger' yang diterbitkan pada 22 Okt.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mengecam kenyataan Liu dan menyifatkan ia sebagai tindakan sabotaj dan kemudian merujuk Liu kepada jawatankuasa disiplin, manakala beberapa pemimpin Bersatu meminta Liu dipecat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS