Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda MCA dakwa Mkini salah lapor, kata tak bantah Jawi
Diterbitkan:  Nov 30, 2019 8:56 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong mendakwa kenyataannya mengenai pengajaran tulisan Jawi di sekolah dilaporkan secara salah atau diambil di luar konteks yang dimaksudkannya.

"Sesungguhnya kenyataan itu adalah tidak benar dan dipetik dalam konteks yang salah," katanya hari ini.

Pada hantaran Facebook yang ditulis dalam bahasa Mandarin, Wong memetik laporan "di luar konteks" oleh Malaysiakini.

Pada satu lagi hantaran dalam bahasa Melayu, ia memaparkan tangkap layar berita Malaysiakini dengan judul: "Pemuda MCA ulang pendirian bantah wajibkan Jawi di sekolah vernakular."

Tangkap layar itu tertera perkataan "tidak benar" yang dieja dengan huruf tebal di atasnya.

Pada hantarannya, beliau berkata Pemuda MCA tidak pernah membantah tulisan Jawi dan malahan menggalakkan pengajarannya.

"Pemuda MCA tidak sesekali membantah tulisan Jawi malah sentiasa terbuka serta mengalu-alukan pembelajaran Jawi sebagai warisan negara sama seperti kaligrafi Cina dan India.

"Apa yang saya sebut ialah mengenai suara khususnya masyarakat Cina yang berharap pelaksanaan silibus teras ini lebih kepada matapelajaran pilihan, bukannya wajib seiring dengan amalan demokrasi dalam negara majmuk seperti Malaysia," katanya.

Wong telah membuat kenyataan mengenai tulisan Jawi pada ucapannya dalam bahasa Mandarin ketika pembukaan Kongres Pemuda MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, teks ucapannya dalam bahasa Melayu dipaparkan pada layar di bahagian tirai latar pentas.

Berikut adalah laporan bahasa Melayu Malaysiakini:

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong menegaskan pendirian sayap parti itu yang menentang pembelajaran Jawi secara wajib di sekolah vernakular pada tahun depan.

"Kerajaan PH menerapkan pembelajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) secara paksa...Sehingga hari ini, Pemuda MCA, komuniti pendidikan Cina dan rakyat meluahkan rasa tidak puas hati.

"Pemuda MCA bukan menentang pembelajaran Jawi tetapi ia tidak seharusnya dimasukkan dalam buku teks Bahasa Malaysia secara paksa.

"Sebaliknya ia harus dianggap (diterapkan) sebagai kajian dan penghayatan seni," katanya ketika berucap dalam perhimpunan agung tahunan Pemuda MCA ke-55 di Kuala Lumpur, hari ini.

Laporan bahasa Inggeris Malaysiakini juga dibuat sama.

Ini bukan kali pertama MCA mendakwa Malaysiakini telah salah lapor apabila mereka membuat kenyataan mengenai isu Jawi.

Semasa pilihan raya kecil Tanjung Piai pada awal bulan ini, calon MCA, Wee Jeck Seng telah menulis di Facebook dalam bahasa Mandarin bahawa "MCA bersatu untuk menentang Jawi dan mempertahankan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, adakah ini memainkan isu-isu perkauman?"

Hantaran berkenaan dibuat pada 7.48 petang pada 13 Nov.

Pada hari berikutnya, Malaysiakini menterjemah hantaran itu ke dalam laporan bahasa Melayu dan Inggeris.

Kemudian, Presiden MCA, Wee Ka Siong dan bekas presiden Umno, Najib Razak pada hari yang sama menuduh portal berita ini mengamalkan dwistandard berhubung laporannya mengenai kenyataan Jeck Seng.

Bagaimanapun, kritikan kedua-dua pemimpin itu dibuat selepas Jeck Seng menyunting perkataan "menentang Jawi" pada hantaran di Facebooknya beberapa jam sebelum itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS