Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini meluahkan rasa kesal kerana menurutnya ramai pihak lebih bertumpu kepada isu remeh seperti abu mayat Chin Peng dan rombakan kabinet berbanding seruannya agar orang Islam mengatasi kelemahan dan memajukan diri.
Ketika menyampaikan ucapan di mesyuarat tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), beliau menceritakan lawatannya ke Korea Selatan, bagaimana negara itu mampu maju ke hadapan berbanding Malaysia dan negara Islam yang lain setanding dengan negara-negara maju.
Katanya, sekiranya negara Islam dan orang Islam maju, mereka boleh melindungi dan mempertahankan orang Islam yang tertindas.
Memberi contoh situasi di negara seperti Myanmar dan negara Timur Tengah, menurutnya, orang Islam di sana terpaksa meminta perlindungan suaka daripada negara bukan Islam.
"Saya sedar saya cakap banyak kali berkenaan dengan perkara ini tapi apa yang saya lihat adalah setelah saya berucap panjang dan lebar berkenaan apa kelemahan kita dan bagaimana atasi kelemahan ini, kalau ada sesi soal jawab, mereka akan tanya bila nak ada rombakan kabinet. Yang saya cakap panjang berkenaan masalah negara Islam.
"Macam tak masuk akal langsung mereka tanya pasal benda remeh-temeh. Apakah abu (mayat) Chin Peng boleh bawa masuk atau tak? Apakah itu boleh tentukan nasib orang Islam?
"Nasib orang Islam bergantung kepada kita amalkan ajaran Islam yang sebenar," katanya ketika ucapan beliau di Petaling Jaya hari ini.
Dalam ucapan 30 minit tersebut, pemimpin berusia 94 tahun itu turut berkata, negara Islam juga gagal melindungi umat Islam lain yang tertindas kerana lemah dari segala sudut.
Katanya, meskipun diberikan kekayaan yang luar biasa tetapi masih lemah kerana kurang cekap dengan pentadbiran negara serta tidak mempunyai kelebihan tertentu untuk menyediakan kelengkapan melindungi umat Islam.
"Saya tak ada masa yang banyak ketika ini tetapi setakat yang boleh kita cuba, saya ingin jelaskan di sini, kita mampu bersaing dengan baik.
"Yang menjadi halangan kepada kita adalah tidak ada kemahuan bukan tidak ada kebolehan.
"Kita adalah sama dengan orang-orang asing dari segi kebolehan akal fikiran tetapi kita tidak menggunakan kurniaan Allah kepada kita dengan cara yang baik, dengan cara yang membolehkan melindungi agama Islam," katanya.