Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Peserta tuntut jawapan projek loji biogas RM35 juta Felcra terbiar

Sejumlah peserta Felcra membangkitkan persoalan berhubung projek biogas bernilai RM35.25 juta yang dijalankan sebuah syarikat milik kerajaan.

Mereka terutamanya ingin tahun mengapa tiada tindakan diambil walapun hanya sedikit kerja yang dibuat selepas lima tahun dana untuk projek itu diberikan.

Berdasarkan dokumen yang dilihat Malaysiakini yang dikongsi oleh peserta, Felcra Bhd memeterai perjanjian dengan Megagreen Energy Sdn Bhd pada Disember 2014.

Menurut perjanjian itu, Megagreen akan memajak tanah milik Felcra untuk "membangun, membiayai, membina, memiliki, mengendali dan menguruskan secara terus" lima loji biogas.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertarikh 21 Februari 2018 menunjukkan Felcra menjadi pemegang saham minoriti dalam Megagreen. Pemegang saham utama ialah Megah Hijau Makmur Sdn Bhd.

Bekas pengerusi Felcra Bung Moktar Radin juga menjadi salah seorang pengarah Megagreen ketika perjanjian itu dimeterai. Ketika dihubungi, Bung berkata telah letak jawatan daripada Megagreen selepas 9 Mei tahun lalu.

"Saya letak jawatan sejak BN kalah PRU ke-14," katanya kepada Malaysiakini menerusi pesanan teks. Anggota parlimen Kinabatangan itu turut letak jawatan sebagai pengerusi Felcra pada 1 Jun 2018 selepas lima tahun memegangnya.

"Tiada komen, anda boleh tanya pengurusan Felcra," kata Bung ketika ditanya berkenaan kemungkinan wujud konflik kepentingan dalam perjanjian biogas itu.

Rekod SSM juga menunjukkan Megagreen menerima pinjaman RM35.25 juta daripada RHB Islamic Bank Bhd pada 9 Jun 2015. Setakat Oktober 2019, hutang itu belum dibayar sepenuhnya.

Setakat laporan ini ditulis, Felcra belum memberi maklum balas terhadap permintaan Malaysiakini untuk mengulas perkara ini.

Loji biogas terbengkalai, tak lengkap

Menurut perjanjian, loji enam megawatt akan dibina di lokasi kilang minyak sawit Felcra di Bukit Kepong (Johor), Sungai Melikai (Johor), Nasaruddin (Perak), Seberang Perak (Perak) dan Maran (Pahang) milik Felcra.

Loji tersebut untuk memproses efluen (sisa industri) dari kilang minyak kelapa sawit (pome) untuk menghasilkan gas metana.

Ketika melawat dua ki;ang minyak sawit milik Felcra di Perak, Malaysiakini mendapati loji biogas di kedua-dua lokasi tidak beroperasi.

Di Nasaruddin, papan tanda projek menunjukkan loji itu sepatutnya siap pada Mei 2016.

 Kawasan ini terdiri daripada kolam anaerobik yang ditutup dan juga tidak ditutup, menara suar, paip dan turbin yang disimpan dalam kontena - semua komponen untuk loji biogas. Ia juga ada beberapa bilik kecil yang dibina daripada zink, masing-masing dilabelkan "pondok keselamatan", "tandas" dan "pejabat".

Bagaimanapun tiada papan tanda untuk loji biogas. Seorang pekerja kilang minyak kelapa sawit yang enggan dinamakan berkata kilang tidak pernah beroperasi walau sekalipun, sejak dua tahun ia dibina.

Seorang individu yang menjaga kawasan itu - juga enggan dinamakan - berkata biogas tidak dapat dihasilkan kerana komponen utamanya,

Kemudahan itu turut tampak tidak dijaga, penuh dengan lalang dan zink terbiar begitu sahaja.

Sementara itu di tapak Seberang Perak, pembinaan loji biogas tampak lebih lengkap - dengan dua tangki reaktor anaerobik yang besar, tangki penyimpan dan banyak paip.

Turut dilihat binaan daripada zink dan kolam, yang kebanyakannya kosong. Seperti di Nasaruddin, loji ini juga tiada papan tanda dengan kawasan yang tidak terjaga.

Di sebalik pembinaan yang dibuat, keseluruhan loji tidak dijaga dan seolah-olah telah ditinggalkan.

Sebuah kilang minyak sawit Felcra terletak di sebelahnya. Seorang pekerja di situ yang enggan dinamakan, berkata mereka tidak pernah melihat loji biogas itu beroperasi sejak ia disiapkan empat tahun lalu.

Menurut perjanjian antara Felcra dan Megagreen, Megagreen dijangka menggunakan pomse secara "kapasiti penuh" dengan menukarkannya kepada biogas. Perjanjian itu tidak menyatakan apa-apa garis masa atau tarikh siap untuk projek tersebut.

Kontraktor turnkey, Green & Smart Sdn Bhd - yang juga salah seorang pemegang saham minoriti dalam Megagreen - enggan mengulas berhubung loji biogas itu.

Kenapa SPRM tak ambil tindakan?

Ketika ditemui Malaysiakini, peserta Felcra, Rosli Ismail, Rameli Buyong dan Usaili Alias mendakwa Bung pernah menghantar surat kepada RHB yang menamakan Felcra sebagai penjamin kepada pinjaman RM35.25 juta yang diambil Megagreen.

Bagaimanapun Bung yang juga pengerusi Umno Sabah berkata "tidak adil" untuknya mengulas berkenaan anggaran tarikh siap dan pinjaman untuk projek itu, dan berkata perkara itu harus dirujuk kepada Felcra.

Rosli, Rameli dan Usaili juga mengeluh apabila aduan yang dibuat kepada SPRM, serta pengurusan baru Felcra bawah kerajaan PH, masih belum ada sebarang tindakan.

Usaili, yang mengetuai Peserta Felcra Gelung Pepuyu Dusun Bota Berhad - berkata tindakan perlu diambil kerana salah pengurusan sebelum ini telah menyebabkan Felcra tidak lagi kaya seperti dulu.

"Saya dan rakan-rakan membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya enam bulan lalu, tetapi sehingga hari ini tiada apa yang dilakukan [...] mereka yang berkenaan masih bebas.

"Saya telah 17 tahun jadi ketua peserta merangkap pengerusi koperasi Felcra di Pepuyu Dusun Bota dan saya lihat pembayaran yang diterima peserta tidak konsisten sejak Bung mengambil alih," katanya.

Setakat laporan ini diterbitkan, SPRM belum menjawab soalan yang dihantar Malaysiakini berhubung projek loji biogas ini.

Sementara itu Rameli yang merupakan bekas naib presiden kanan Felcra mahu keadaan Felcra dipulihkan kembali.

Sementara itu, bekas naib presiden kanan Felcra, Rameli mahu nasib korporat dibaik pulih.

"Saya tidak mahu Felcra menjadi mangsa penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kita perlu kembalikan Felcra kepada bisnes terasnya...Kita mulkana Felcra dari awal, dari bawah," katanya.

Pengerusi koperasi Felcra Jaya, juga memulakan kerjayanya di Felcra.

"Ketika kami bermula, sukar untuk meyakinkan orang ramai menyertai Felcra tetapi kami menjadi sangat berjaya. Tetapi apabila seseorang yang tidak bertanggungjawab datang, ketika itulah wang habis," katanya yang berasal dari Pahang.

Felcra tidak mendedahkan penyata kewangan tahunannya kepada awam tetapi beberapa laporan yang ditemui di laman webnya menunjukkan keuntungannya turun daripada RM123.86 juta pada 2014 kepada RM5.11 juta pada 2016.

Selepas PH mengambil alih kerajaan, ia menggantung buat sementara skim pinjaman Bantuan Sara Hidup FELCRA kerana kekurangan dana.

Ia turut melepaskan pasukan bola sepaknya dan menjual projek pembangunan Menara Felcra di Kuala Lumpur. Projek yang belum siap itu bernilai RM1 bilion.

Bung dan isterinya Zizie Izette kini dalam perbicaraan untuk tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, termasuk dakwaan menerima suapan RM2.2 juta sebagai pertukaran untuk Felcra membuat pelaburan dalam unit amanah Public Mutual.

Felcra, atau Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan, dikorporatkan pada 1997 selepas beroperasi sebagai badan berkanun selama 31 tahun.

Objektif utamanya ialah untuk mengeluarkan 112,454 pesertanya daripada belenggu kemiskinan dengan memulih dan menyatukan tanah terbiar untuk tanaman kelapa sawit, getah dan padi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS