Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengerusi tetap dan timbalannya kekal, kata timbalan ketua AMK
Diterbitkan:  Nov 29, 2019 12:53 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Kurang 24 jam Pemuda PKR (AMK) bertindak melucutkan jawatan pengerusi tetapnya, Mizan Adli Mohd Noor dan timbalan pengerusi tetap Mohd Ramly Ahmad, timbalan ketuanya, Hilman Idham hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-dua mereka kekal sah menyandang jawatan mereka sehingga pemilihan sayap akan datang.

Menurut Hilman, perlembagaan parti dan peraturan tetap Pemuda PKR tidak memberikan sebarang kuasa kepada Majlis Pimpinan Pusat AMK untuk melucutkan kuasa pengerusi dan timbalan pengerusi tetap.

“Ini kerana pengerusi dan timbalan pengerusi tetap merupakan sebahagian daripada Kongres Nasional yang merupakan kuasa tertinggi parti sebagai mana yang termaktub dalam Perkara 10.3.1 Peraturan Tetap AMK dan Fasal 17 Perlembagaan PKR.

“Surat Setiausaha AMK yang dangkal dan akal senteng cuba memesongkan fakta bagi merasionalkan perlucutan tersebut dengan hanya menyatakan Perkara 5.1 & 5.3 Peraturan Tetap dan menyembunyikan Perkara 5.2 dalam Peraturan Tetap.

Mizan Adli Mohd Noor dan Mohd Ramly Ahmad

“Ini kerana Perkara 5.2 telah memperuntukkan bahawa - ‘Semua pemegang jawatan dalam AMK adalah kekal sebagai anggota AMK walaupun telah melebihi had umur sehingga tamat tempoh khidmat atau sehingga digantikan oleh pemegang jawatan yang baru’,” katanya dalam satu kenyataan yang merujuk kepada surat yang ditandatangani oleh Setiausaha AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab, yang juga adalah pengarah kongres nasional AMK semalam.

Semalam dilaporkan, tindakan lucut jawatan itu ada kaitan dengan perselisihan antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang tidak mahu timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali merasmikan kongres Pemuda PKR.

Walaupun pengerusi tetap dan timbalannya tidak mempunyai peranan utama dalam operasi harian parti, namun mereka adalah tokoh penting semasa kongres kerana akan mempengerusikan mesyuarat himpunan itu nanti.

Surat yang memaklumkan pemecatan kepada kedua-dua mereka itu memberi alasan keputusan dibuat setelah mendapati semasa pemilihan dibuat dalam Kongres Nasional Tahunan AMK 2018, terdapat beberapa peraturan yang tidak dipatuhi iaitu dengan menimbulkan kelayakan umur mereka dalam pemuda PKR.

Hilman yang sememangnya dikenalpasti sebagai antara mereka yang menyokong Azmin, juga mengulas mengenai jumlah undi yang diterima oleh Mizan dan Ramly yang dikatakan melebihi jumlah perwakilan yang layak mengundi.

“Fakta bahawa jumlah perwakilan yang layak mengundi dalam Kongres Nasional 2018 hanyalah berjumlah 270 orang memperlihatkan betapa kepimpinan MPP AMK adalah lemah dan tidak tersusun kerana Perkara 10.3.3 Peraturan Tetap telah memperuntukkan 7 orang perwakilan AMK untuk setiap Cabang.

“Sekiranya hanya 270 perwakilan yang boleh memilih, ini bermakna Kongres hanya di hadiri oleh kurang 39 Cabang daripada lebih 178 Cabang seluruh negara.

“Apatah lagi semua keputusan pemilihan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah disahkan dalam Kongres Nasional 2018. Wibawa dan integriti JPP harus dipertahankan,” katanya.

Susulan daripada surat pemecatan tersebut, Mizan dan Ramly memberi amaran tindakan tersebut boleh menyebabkan risiko PKR diharamkan.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, mereka meminta kepimpinan parti menyiasat pemecatan itu serta merta secara profesional.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS