Paling Popular
Terkini

Kerajaan Terengganu akan mengkaji kemungkinan untuk mengharamkan penjualan telur penyu bagi semua spesis secara terbuka di Terengganu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata ketika ini hanya Terengganu satu-satunya negeri di Malaysia yang masih membenarkan penjualan telur penyu dan ini menimbulkan imej negatif terhadap Terengganu.

"Dalam Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 (pindaan) 1987, hanya telur penyu belimbing sahaja yang diharamkan penjualannya manakala telur penyu spesis lain dibenarkan sebab itu kita lihat ia banyak dijual di Pasar Payang.

"Ada juga kita terima rungutan dari orang ramai yang mempertikaikan sama ada kerajaan Terengganu 'tidak nampak' atau terlepas pandang dari segi penguatkuasaan sedangkan penjualan itu tidak menyalahi peraturan," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Untuk rekod, empat daripada tujuh spesies penyu di dunia mendarat di Terengganu iaitu penyu belimbing, penyu lipas, penyu karah dan penyu agar, namun pendaratan terakhir penyu belimbing di Terengganu yang direkodkan ialah pada 2017.

Dr Azman berkata asas kepada pindaan pada tahun 1987 yang masih membenarkan penjualan telur penyu spesis lain adalah kerana pada waktu itu, jumlah pendaratan penyu masih tinggi di Terengganu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata selain kajian pengharaman telur penyu itu, Terengganu juga akan melihat semula keperluan untuk meminda enakmen tersebut terutama yang berkaitan denda dan hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan berkaitan penyu.

"Pindaan pada tahun 1987 itu sudah terlalu lama khususnya ada beberapa seksyen yang melibatkan denda sudah tidak begitu relevan kerana terlalu rendah dan tidak mempunyai faktor pencegah pada enakmen itu.

"Sebab itu saya telah arahkan Jabatan Perikanan untuk buat bengkel yang melibatkan pelbagai pihak dalam industri termasuk pengamal undang-undang dan ahli akademik...hasil bengkel itu sudah ada dirangka satu cadangan untuk pindaan yang akan dikemukakan pihak pejabat Penasihat Undang-Undang negeri untuk diteliti lebih lanjut," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS